3 syarikat pengeluar daging terbesar dijamin halal, kata timbalan menteri


Produk keluaran Allana Group adalah antara pembekal daging yang dijamin halal. – Gambar Facebook, 29 Disember, 2020.

TIGA syarikat pengeluar daging sejuk beku terbesar iaitu Allana Group, Amroon dan Al-Aali adalah antara pembekal daging yang dijamin halal, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosol Wahid.

Oleh itu, beliau berkata masyarakat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was dengan pembelian daging daripada tiga syarikat berkenaan.

“Jangan terpengaruh dengan maklumat tersebar di media sosial yang menyebarkan pelbagai andaian dan dakwaan kartel daging ini adalah haram dan sudah berlaku lebih 40 tahun,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di syarikat pengimport daging sejuk beku di Fatric Sdn Bhd di Selayang hari ini.

Rosol berkata lawatan ke syarikat tersebut bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa bekalan daging yang terdapat di pasaran adalah halal.

Terdahulu di Dewan Negara hari ini Rosol berkata sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku yang dipercayai berkaitan dengan kartel daging haram di Johor akan didakwa di mahkamah esok kerana menggunakan logo halal palsu pada kenderaannya.

Beliau turut menafikan dakwaan kerajaan cuba melindungi pihak dan syarikat yang terlibat dalam perkara yang menimbulkan keresahan umat Islam di negara ini. – Bernama, 29 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen