Daging kartel khianati pengguna


ISU sindiket daging import haram di Senai, Johor Bahru yang melibatkan aktiviti pemalsuan pelabelan logo halal telah menggoncangkan Malaysia.

Pendedahan demi pendedahan baik dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa telah mencalarkan reputasi Malaysia sebagai pentas hub halal dunia.

Bagaimanapun, tahniah diucapkan kepada semua pengamal media kerana berani membuat pendedahan yang begitu berani biarpun berdepan risiko ancaman daripada pihak yang ditelanjangkan kebejatan mereka selama ini.

Penipuan sindiket daging juga menghancurkan kredibiliti pensijilan halal Malaysia di mata dunia.

Usaha bertahun-tahun penyelidikan dan kawalan ekosistem halal di Malaysia sejak sekian lama seolah-olah sia-sia dan tidak berguna.

Rupanya di sebalik usaha keras orang lain, ada makhluk perosak yang menangguk di air yang keruh. 

Berdasarkan laporan, syarikat pembekal terbabit menggunakan dokumen palsu termasuklah borang kastam, permit import, sijil halal dan resit bayaran.

Daging tersebut dibawa masuk daripada empat buah negara iaitu China, Ukraine, Brazil dan Argentina. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa tempatan, syarikat pembekal dalam masa yang sama turut mengimport daging daripada sumber yang sah.

Semua daging yang diimport akhirnya ditempatkan di dalam suatu tempat simpanan khas sebelum dibungkus semula.

Daging import tersebut akan dimasukkan ke dalam kotak sebelum ditampal logo halal palsu. Selain itu, terdapat rekod resit penerimaan kemasukan daging babi juga ditemui di tempat kejadian.

Kebiasaannya, taktik jahat yang digunakan sindiket daging import adalah dengan mengimport sama daging daripada sumber yang sah dan juga meletakkan daging berstatus halal secara bercampur dengan daging tidak mempunyai sijil halal sah.

Perkara ini menyebabkan status halal daging tersebut diragui dan memerlukan penelitian semula.

Setelah tularnya sindiket ini di media massa, maka masyarakat selaku lapisan terakhir pengguna produk mula merasa gusar dan gelisah.

Hal ini menjadi tumpuan utama apabila melibatkan aspek status halal produk daging tersebut.

Majoriti masyarakat di Malaysia adalah beragama Islam, maka sudah pasti penjelasan terhadap status halal produk daging yang dinikmati selama ini menjadi kebimbangan utama sesama mereka. 

Antara persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat adalah bagaimana sindiket ini boleh beroperasi secara haram dalam tempoh masa yang cukup lama tanpa dapat dikenalpasti?

Bagaimana dengan status daging import yang dimakan selama ini? Apa yang sepatutnya dilakukan terhadap bekalan daging import yang telah dibeli sebelum pembongkaran ini?

Perlukah ia didermakan kepada zoo-zoo atau dilepaskan ke angkasa?

Bukan sedikit jumlahnya pengusaha yang membeli daging import sejuk beku untuk perniagaan lantaran harganya yang jauh lebih murah.

Para pengguna juga lazim membeli daging import bagi mengurangkan kos jamuan, majlis perkahwinan dan sebagainya.

Mungkin ada hikmahnya Covid-19 yang menghentikan sebegitu banyak aktiviti tidak bermoral dalam negara dan mengempiskan dompet para penjenayah sehingga memaksa mereka keluar memunculkan diri. 

Mewakili seluruh pengguna di Malaysia, sindiket yang beroperasi ini berlaku disebabkan sifat tamak mengaut keuntungan melampau tanpa menghiraukan aspek halal haram.

Anggota sindiket dan pihak yang bergelumang dengannya mencemarkan rantaian bekalan makanan halal kepada masyarakat Islam di Malaysia yang terkenal dengan tahap sensitiviti yang cukup tinggi berkaitan persoalan halal haram.

Lebih teruk, ia membekalkan daging haram kepada jutaan rakyat Muslim Malaysia selama lebih 40 tahun.

Bagi semua pihak yang bersekongkol dengan sindiket, golongan ini merupakan pengkhianat negara dan ummah dari dalam ibarat gunting dalam selimut.

Maruah mereka sangat murah dan boleh dibeli dengan wang ringgit dan habuan seks. Sikap tidak amanah dalam menjalankan tugas, korup dan menerima rasuah merupakan sifat golongan munafiq.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Sikap orang munafiq itu ada tiga: apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianat.”

Mereka ini sewajarnya dihumbankan ke lembah yang terasing supaya tidak boleh merosakkan orang lain.

Apa yang lebih menggusarkan adalah generasi masa hadapan yang dibentuk hasil pemakanan daging import haram oleh sindiket berkenaan.

Menurut Imam al-Ghazali, halal adalah cahaya dan haram adalah kegelapan. Namun, apa yang sudah terjadi tidak lagi diundurkan kembali, jadi yang tinggal adalah kawalan untuk pembinaan rohani dan jasmani generasi muda negara Malaysia yang lebih baik.

Jika masih dibiarkan isu ini, jangan terkejut dengan gejala keruntuhan akhlak generasi akan datang.

Saya yakin masih ada syarikat melakukan modus operandi sama dan hanya masa yang akan membongkarkan kegiatan mereka. Lantas, pihak berautoriti perlu lebih proaktif dalam membendung isu ini daripada terus berulang.

Mafhum sabda Nabi Muhammad, tanggungjawab merupakan amanah yang akan dipersoalkan kelak di hadapan Rabb al-Jalil.

Tindakan cuba melepaskan diri dan tidak berasa bersalah merupakan sikap yang tidak bijak, sedangkan mereka merupakan pihak yang memantau bekalan makanan dan kawalan halal dalam negara.

Masyarakat tidak mahu mendengar alasan dan saling menyalahkan agensi atau badan tertentu. Isunya, pihak berautoriti perlu lebih telus, cekap dan pantas menghilangkan produk-produk hasilan daripada daging kartel dalam pasaran domestik.

Sebagai cadangan, isu daging kartel ini mempamerkan kelemahan yang amat jelas dalam kawalan bekalan makanan halal di Malaysia.

Jurang pertama yang perlu dirapatkan adalah kadar celik halal yang masih rendah dalam kalangan pemain industri termasuk pembekal, pengusaha dan pengeluar produk.

Menurut Saadan Man, mereka lebih nampak simbol halal sebagai pelaris dan perangsang keuntungan. Inilah punca banyak terjadi kes penipuan halal tanpa rasa bersalah.

Maka, perlu diseimbangkan di antara nilai agama (religious value) dan mengejar keuntungan (profit based) dalam jati diri semua pemain industri halal.

Dalam zaman Revolusi Industri 4.0, antara teknologi yang wajar dimanfaatkan adalah teknologi blockchain. Setiap maklumat halal produk akan disahkan dalam pengkalan data halal.

Justeru, maklumat produk sepanjang rantai makanan bermula daripada kesahan badan berautoriti, pembekal bahan mentah, pengeluar, pemborong, logistik dan peruncit akan diketahui secara telus.

Pengguna juga boleh membuat semakan pengesahan halal dan memberi maklum balas dengan mengimbas QR code menggunakan telefon pintar. 

Paling tidak, gunakan kod hologram khusus bagi setiap produk halal agar tidak mudah dipalsukan seperti yang dipraktikkan pada produk susu dan klinikal masa kini.

Antara lain, kita wajar memperketatkan syarat-syarat permohonan pensijilan halal, mewujudkan label halal berbeza bagi produk import, memboikot daging import dari negara yang tidak peka halal atau meragukan serta mempergiatkan pemantauan lebih kerap terhadap syarikat berisiko tinggi.

Kesimpulannya, isu daging kartel merupakan perbuatan khianat kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia.

Pengguna di Malaysia merupakan golongan paling terkesan dan telah lama menjadi mangsa setiap kali timbul isu baru halal. Sudah berapa banyak makanan syubhah dan haram yang telah dikonsumsi tanpa sedar.

Memetik kata-kata seorang tuan guru: “Kita memang tidak pernah makan seekor babi secara zahir. Tetapi jika dikira sepanjang hidup, sudah banyak babi (benda haram) yang telah kita makan.”

Maka semua pihak perlu membuka mata dan bersiap siaga memerangi golongan manusia yang merosakkan ini.

Sudah tiba masanya untuk memperkasakan piawaian kawalan halal di Malaysia daripada sabotaj pihak tidak bertanggungjawab. – 29 Disember, 2020.

* Mohd Farhan Md Ariffin, pensyarah kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen