Sibuk bekerja, ibu bapa akui tak pantau pemakanan anak-anak


Nabihah Hamid

Kebanyakan ibu bapa meletakkan kepercayaan penuh kepada pengurusan taska dan pengasuh menguruskan hal pemakanan anak-anak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Disember, 2017.

SIBUK bekerja dan kurang arif mengenai diet yang seimbang punca ibu bapa di Putrajaya mengabaikan pemakanan sihat untuk anak-anak, sehingga menyumbang kepada tumbesaran mereka yang terbantut.

Enam daripada 10 keluarga yang ditemui oleh The Malaysian Insight di Putrajaya mengakui mereka kurang prihatin terhadap pemakanan anak-anak kerana dua alasan: sibuk bekerja dan kurang pengetahuan tentang pemakanan sihat.

Selebihnya, mereka menaruh kepercayaan penuh kepada pengurusan taska dan pengasuh serta tidak pula menyediakan bekal makanan kepada anak-anak secara konsisten.

Zulkifli Abdul Jalil, 32, bapa kepada tiga anak, berkata beliau sering pulang lewat daripada kerja dan membeli makanan siap dimasak dari restoran untuk hidangan makan malam.

“Saya pun akui tak berapa pantau (soal makanan). Lagipun kerja, kadang-kadang saya balik lambat. Beli makanan luar kita tak dapat pantau bahan perisanya.

“Kalau waktu pagi, sebelum hantar anak sekolah, saya bekalkan nasi goreng dan belikan mereka jajan juga,” kata penjawat awam itu.

Kaji Selidik Kesihatan Negara dan Morbiditi 2016 yang diumumkan baru-baru ini mendapati 28% kanak-kanak berusia 12 hingga 23 bulan di pusat pentadbiran negara itu terbantut tumbesarannya – keadaan bila mana seseorang kanak-kanak membesar kurang tinggi berbanding rakan sebaya – disebabkan kekurangan zat yang kronik.

Krisis bantut

Keadaan di Putrajaya itu membimbangkan kerana kurang hanya 2% untuk dianggap mencapai tahap kecemasan kesihatan berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Kekurangan zat makanan dan bantut tumbesaran ini mempunyai kesan serius kepada pembangunan ekonomi kerana ia juga melibatkan soal perkembangan kognitif kanak-kanak yang terlibat, kata penyelidik Unicef Malaysia, seperti dilaporkan oleh media.

Kanak-kanak yang terbantut kurang peka kepada maklumat berbanding rakan sebaya dan boleh membawa kesan jangka panjang kepada produktiviti negara apabila mereka dewasa dan bekerja, kata laporan itu.

Seorang lagi penjawat awam, Anisah Kamarulzaman, 31, berkata setiap hari beliau hanya sempat menyediakan roti dan biskut untuk anaknya yang berumur 18 bulan, selain bekalan susu formula.

Selebihnya, ibu dua anak ini bergantung kepada makanan yang disediakan oleh pihak pengurusan taska.

“Kalau pagi sebelum pergi kerja, saya pastikan anak minum susu sebotol. Tetapi sarapan lain di sekolah. Yang saya tahu selalunya pagi mereka makan bubur nasi di taska.

“Dalam jam 12, mereka diberi makan tengahari. Kadang-kadang bagi nasi, sayur dan sup. Tapi tak pasti ada pelbagai makanan ke tidak sebab taska tak berikan menu,” katanya.

Tetapi bagi Haslinda Latip, 38, beliau terpaksa menyediakan makanan untuk tiga anaknya kerana mereka ada alahan dan sensitif.

“Semua anak-anak saya ada ekzema teruk. Saya memang masak di rumah setiap pagi. Kenalah bangun awal sikit. Kadang masak pasta, nasi lemak atau nasi goreng.

“Lagipun di taska mereka selalu masak pukul rata. Janji senang. Kos barang pun tinggi, saya pun faham mereka hendak jimat. Jadi untuk makanan sihat, saya bekalkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui bukan mudah untuk menyediakan makanan pada awal pagi.

“Suami saya kerja di rumah jadi masa lebih fleksibel, boleh bantu juga. Macam saya, pergi kerja awal pagi dan apabila balik petang sibuk menguruskan makan malam pula.

“Memang penat, tapi saya kena pastikan menu malam sekurang-kurangnya ada tiga,” katanya.

Jangan bergantung kepada taska

Sementara itu, pengusaha sebuah taska yang mempunyai empat cawangan di Putrajaya berharap pengasuh dan ibu bapa bekerjasama untuk memastikan pemakanan berzat untuk anak-anak yang sedang membesar.

Ketua Pegawai Eksekutif Taska Vonad, Omar Yusof berkata ibu bapa perlu memantau menu di taska selain menghantar anak ke taska yang berdaftar serta mengikuti kursus wajib seperti Kursus Asuhan Permata.

“Saya difahamkan, masih banyak taska di Putrajaya tidak berlesen terutamanya di rumah. Ibu bapa kena ambil maklum hal lesen ini. Mereka perlu lihat menu juga.

“Makanan adalah perkara yang penting, perlu ada tiga sesi jadualnya. Pagi, tengahari dan petang. Jadi, kita sudah ada standard menu dan SOP,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Selain itu, katanya ibu bapa juga perlu mendidik anak agar lebih berdisiplin ketika makan dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada taska.

“Kadang-kadang apabila anak sering bersuap dan tidak disiplin (semasa makan), menyebabkan mereka mungkin kurang makan ketika berada di taska,” katanya.

Omar adalah antara pengendali dilantik kerajaan bagi Kursus Asuhan Permata yang diwajibkan ke atas pengusaha taska sebelum mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pengusaha perlu hadir kursus 28 hari. Dalam kursus itu, ada enam jam khas mengenai pemakanan seimbang dan perancangan menu.

“Kursus ini penting bagi pengusaha dan pekerja-pekerja taska supaya mereka terlatih,” katanya. – 25 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen