Polis pertingkat pemeriksaan, pantauan di tempat awam


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata masih ada masyarakat leka dan kurang ambil berat SOP bagi membendung penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2020.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan jumlah pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam dipatuhi berikutan peningkatan kes wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata PDRM mendapati masih ada masyarakat yang leka dan kurang mengambil berat mengenai aspek pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak itu.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang didapati mengingkari peraturan berkenaan.

“Mengambil kira statistik kes baharu positif Covid-19 yang tinggi, PDRM mengingatkan seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan disiplin kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan. 

Sempena cuti hujung tahun dan musim perayaan, ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, berkunjung ke tempat peranginan serta mengadakan majlis keramaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamid berkata tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti sedemikian akan mewujudkan situasi orang ramai akan berkumpul dalam bilangan yang ramai.

Beliau mengingatkan masyarakat agar mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam komuniti serta mengelakkan ‘3S’ (sesak, sempit dan sembang dekat) dalam aktiviti harian bagi membendung penularan wabak ini. 

“Bersama-sama kita berganding bahu untuk memutuskan rantaian dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, di Malaysia,” katanya. – Bernama, 28 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen