KELUARGA mangsa nahas udara pesawat MH17 menyeru supaya menghormati mayat mangsa kerana bimbang dijadikan “bahan mainan” selepas beberapa tulang ditemui.
Wartawan bebas Patrick Lancaster di dalam video YouTube pada 11 Disember mendedahkan dia menemui 52 tulang dan mayat di tapak pesawat itu terhempas di timur Ukraine.
Videonya menunjukkan dia menggali mayat dari tapak kemalangan yang dilitupi salji.
Ia susulan selepas Lancaster menegaskan menemui mayat pada Ogos lalu dan mneyerahkannya kepada datuk bandar tempatan dan berkata dia melakukannya dengan “cara yang paling profesional”.
Namun, penemuan terbaharu Lancaster itu meragukan keluarga dan Yayasan MH17 yang meminta sisa mayat segera diserahkan untuk pengecaman dan dikembalikan kepada waris.
“Persekitaran penemuan itu sedikit mencurigakan,” kata pengerusi yayasan itu, Piet Ploeg.
“Sisa mayat ditemui betul-betul di mana pasukan penyiasat bersama menggali tanah, dan menapisnya. Tak mungkin di tempat itu ada banyak mayat manusia.
“Ia nampak seperti seseorang menyimpan mayat manusia dan menyerahkannya kemudian, dan mandapat publisiti.
“Ia tidak menghormati mangsa dan amat sukar diterima waris” katanya.
Penerbangan Malaysia Airlines MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada Julai 2014 dan membunuh kesemua 298 orang yang kebanyakannya warga Belanda.
Siasatan antarabangsa menyimpulkan pesawat itu ditembak roket BUK buatan Rusia yang diangkut merentasi sempadan ke Ukraine dari Rusia dan tembakan dilepaskan dari wilayah yang dipegang pemberontak pemisah pro-Rusia. – AFP, 24 Disember, 2017.
Komen