Kerajaan jangan politikkan isu kartel daging haram


PADA tahun 2018, tahap sara diri daging lembu adalah 22%, nilai import RM3.8 bilion, eksport RM1.2 bilion, defisit perdagangan RM2.6 bilion, defisit tenusu RM2.6 bilion.

Sudah terang lagi bersuluh, permintaan terhadap pemilikan daging lembu berada pada tahap yang tinggi sehingga ianya menjangkaui penawaran daging lembu tempatan yang jelas bergerak sangat perlahan sejak kebelakangan ini.

Berbalik kepada masalah utama terhadap isu ini ialah mengenai keselamatan daging import, integriti terhadap perjalanan rantaian dan bekalan, loji penyembelihan yang beroperasi secara haram serta pemprosesan terhadap penghasilan daging yang diragui.Sehingga pada saat ini, tidak ada satu senarai nama syarikat yang disyaki dan dikenal pasti oleh pihak kerajaan terlibat dalam isu kartel daging haram.

Terdapat beberapa dakwaan bahawa sindiket kartel ini telah wujud dan beroperasi lebih dari 40 tahun, akan tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) telah menafikannya.

Jangan ada sebarang langkah dalam menyembunyikan sebarang maklumat serta  melindungi mana-mana pihak terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan peribadi dengan penyelewengan isu kartel daging haram apabila ianya melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat secara keseluruhan.

Saya secara peribadi menyambut baik terhadap beberapa cadangan untuk menubuhkan pasukan khas yang membabitkan pelbagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan dalam industri halal, bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Namun begitu, ianya perlu dijalankan secara telus dan kerajaan perlu memberi jaminan terhadap perkara itu.

Oleh yan demikian, kerajaan perlu bertindak dengan kadar yang segera supaya kepercayaan dan keyakinan masyarakat terutamanya mereka yang beragama Islam kembali diyakini dan terdapat jaminan mengenai status keabsahan halal daging import yang berada dalam pasaran negara pada ketika ini.

Jika tidak, industri daging import pastinya terkesan selepas ini sejurus pembongkaran ini tersebar dan sekaligus merencatkan usaha dalam memulihkan semula prestasi ekonomi negara dalam konteks yang lebih luas.

Pendapat ini adalah pendapat peribadi Dzulhilmi Zainol dan tidak mewakili Angkatan Muda Keadilan Negeri Selangor. – 28 Disember, 2020.


* Dzulhilmi Zainol merupakan Naib Ketua AMK Selangor dan Ketua AMK Damansara.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen