BEBERAPA demonstrasi dan pertempuran tercetus termasuk di Baitulaham yang diduduki Israel, di mana masyarakat beragama Kristian akan menyambut hari kelahiran Nabi Isa malam ini, selepas pengumuman kontroversi Presiden Amerika Syarikat Donald pada 6 Disember lalu.
Di Dataran Manger Baitulaham, berpuluh-puluh rakyat Palestin dan pelancong berkumpul di tempat kelahiran Nabi Isa dengan gembira berhampiran pokok Krismas untuk melihat perarakan tahunan.
Perarakan akan melalui Church of Nativity yang dibina di tempat yang dikatakan di mana Mariam melahirkan Nabi Isa.
Dataran itu kini tidak seperti kebiasaan yang penuh dengan pelancong pada malam Krismas sejak pertempuran antara penunjuk perasaan Palestin dan tentera Israel sejak beberapa minggu lalu.
Nabil Banura, wanita Kristian dari Beit Sahur iaitu bandar berhampiran Baitulaham berkata pengumuman Trump itu menghuru-harakan sambutan Krismas.
Sekurang-kurangnya 50,000 masyarakat Palestin Kristian membentuk kira-kira 2% daripada penduduk yang kebanyakannya Islam di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.
Ketua biskop Pierbattista Pizzaballa, iaitu paderi besar Baitulmaqdis berkata puluhan pelawat asing membatalkan lawatan Krismas mereka selepas pengumuman Trump itu.
Tetapi, kementerian pelancongan Israel berkata persiapan sambutan Krismas tidak terjejas dan ia menjangkakan kenaikan 20% jumlah jemaah Kristian tahun ini berbanding tahun lepas.
Kementerian itu juga berkata ia akan mengendalikan perkhidmatan pengangkutan secara percuma bagi jarak dekat antara Baitulmaqdis dan Baitulaham untuk perarakan itu.
Unit tambahan polis juga akan dihantar ke Baitulmaqdis dan persimpangan ke Baitulaham bagi memudahkan perjalanan dan kemasukan “ribuan pelancong dan pelawat”.
Dalam satu kenyataa sebelum Krismas, Presiden Palestin Mahmud Abbas berkata, pengumuman Trump itu “menggalakkan pemisahan haram antara kota-kota suci Baitulaham dan Baitulmaqdis, kedua-duanya buat pertama kalinya dalam lebih 2,000 tahun Kristian dipisahkan”.
Abbas menyeru “umat Kristian mendengar suara-suara sebenar masyarakat Kristian asli dari Tanah Suci… yang menentang pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel oleh AS”.
“Mereka adalah keturunan pengikut pertama Jesus Christ dan sebahagian daripada rakyat Palestin,” kata Abbas. – AFP, 24 Disember, 2017.
Komen