Badan anti rasuah letak Ezam bertanding PRU14


Amin Iskandar

Ezam dipertanggungjawabkan membawa isu rasuah dan 'al-ghulul' (penyalahgunaan jawatan) sepanjang kempen PRU14 dan sekiranya menang, akan membawa isu ini dari sudut Islam di Dewan Rakyat, kata Hisbah Centre for Reform (Hisbah). – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

BADAN anti rasuah yang berpengkalan di Indonesia, Hisbah Centre for Reform (Hisbah) bakal meletakkan pengerusinya, Ezam Mohd Nor untuk bertanding di satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Timbalan Pengerusi Hisbah Syed Nazarudin Syed Aziz berkata, Ezam dipertanggungjawabkan membawa isu rasuah dan “al-ghulul” (penyalahgunaan jawatan) sepanjang kempen PRU14 dan sekiranya menang, akan membawa isu ini dari sudut Islam di Dewan Rakyat.

“Lembaga telah meminta Ezam menamatkan khidmat beliau di Hisbah cabang Jakarta dan tugas pengajian di beberapa universiti di Yogyakarta dan Surakarta serta merta dan kembali menumpukan usaha sepenuhnya di Malaysia mulai Januari 2018,” kata Syed Nazarudin dalam satu kenyataan hari ini.

Ezam merupakan bekas pengarah komunikasi strategik kementerian kewangan dan bekas ahli Dewan Negara.

Sebelum itu beliau merupakan bekas ketua Pemuda PKR. 

Ketika Anwar Ibrahim masih dalam kerajaan, Ezam merupakan setiausaha politiknya di Kementerian Kewangan.

Selepas Anwar dipecat dari Kabinet pada tahun 1998, Ezam mendakwa beliau mempunyai enam kotak bukti rasuah pemimpin negara yang menunggu masa untuk beliau dedahkan.

Bagaimanapun Ezam hanya mendedahkan dua dokumen daripada enam kotak yang didakwa dimilikinya itu.

Ini menyebabkan Ezam dikritik. Dalam satu forum pada Mei, Ezam mempertahankan keputusannya tidak mendedahkan dokumen daripada enam kotak tersebut.

Katanya, pendedahan dua helai dokumen rasuah melibatkan bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik dan bekas menteri Kabinet Rafidah Aziz menyebabkan beliau dipenjara mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2002.

Syed Nazarudin berkata, kerusi Parlimen Pekan menjadi pilihan utama mereka untuk meletakkan Ezam kerana ia merupakan kerusi Perdana Menteri Najib Razak.

“Ia diwakili oleh ahli Parlimen yang mengetuai pentadbiran kerajaan yang membenarkan dan mempraktikkan al-ghulul di Malaysia hari ini dalam skala kecurian terbesar di dunia.

“Namun begitu Lembaga Hisbah mengambil maklum unsur penipuan ketara dalam pola pengundi di Parlimen Pekan di mana peningkatan pengundi mendadak lebih seratus peratus daripada kurang 40,000 pengundi kepada lebih 80,000 pengundi,” katanya.

Kerusi Parlimen Pekan menjadi pilihan utama Hisbah Centre for Reform (Hisbah) untuk meletakkan Ezam kerana ia merupakan kerusi Perdana Menteri Najib Razak. 	 – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

Syed Nazarudin berkata, disebabkan itu Hisbah mengenal pasti kawasan Parlimen lain yang wajar untuk ditandingi Hisbah selain Pekan.

“Kriteria kawasan Parlimen itu mestilah pola pengundi majoriti Melayu dan  kawasan bandar.

“Dua ciri ini menjadi kriteria utama sesuai matlamat Hisbah meletakkan calon untuk membawa isu rasuah khususnya kepada penghayatan orang-orang Melayu-Islam di Malaysia dan strategi pengembangan dakwah menentang kerosakan ini harus bermula di kawasan strategik yakni di bandar,” katanya.

Ezam kini mempunyai kes mahkamah selepas memfailkan saman terhadap Najib, 13 Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia supaya menanggung kerugian dengan membayar sejumlah AS$3.657 bilion kepada syarikat 1MDB. – 24 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen