CHINA menutup atau membatalkan lesen 13,000 laman web sejak 2015 kerana melanggar peraturan internet, lapor media negara itu hari ini.
Berita itu muncul ketika China terus menguatkan peraturan internetnya yang sedia ketat, iaitu satu langkah yang disifatkan pengkritik meningkat semenjak Presiden Xi Jinping memegang kuasa pada 2012.
Agensi berita rasmi harini melaporkan platform-platform juga menutup hampir 10 juta akaun internet kerana “melanggar protokol perkhidmatan”, yang merujuk kepada akaun media sosial.
“Langkah ini mempunyai kesan pencegahan yang amat kuat,” lapor Xinhua, memetik kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Wang Shengjun.
Walaupun mempunyai pengguna internet terbesar di dunia , laporan oleh pasukan pemikir Amerika Syarikat, Freedom House pada 2015 mendapati daripada 65 negara yang dikaji, China mempunyai polisi penggunaan dalam talian paling ketat, berada di bawah Iran dan Syria.
Tahun ini saja, China membuat peraturan baharu yang mengkehendaki syarikat teknologi asing menyimpan data pengguna di dalam negara, mengenakan kandungan sekatan baharu dan menjadikannya sukar untuk menggunakan perisian yang membolehkan pengguna mengelak ditapis.
Antara yang disekat kerajaan China ialah Google, Facebook, Twitter dan The New York Times.
Beijing tegas mempertahankan tindakannya yang disebut “kedaulatan siber” dan pelbagai bentuk tapisan web yang dipanggil “The Great Firewall” adalah perlu bagi melindungi keselamatan negara. – AFP, 24 Disember, 2017.
Komen