Skandal daging 'halal' robek imej institusi angkat Islam, kata Anwar


Anwar Ibrahim mengulas skandal daging haram yang menjadi perbualan hangat rakyat sejak kebelakangan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2020.

SKANDAL daging haram ditukar halal telah merobek reputasi dan imej institusi yang diamanahkan untuk mengangkat darjat Islam di Malaysia, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar tidak menyebut institusi yang dimaksudkan namun menyelar kakitangan kerajaan yang mudah dibeli oleh kartel daging sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat.

“Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam. 

“Meski dikurniakan peruntukan yang bukan kecil hampir setiap tahun, namun skandal ini telah merosakkan kepercayaan umum kepada institusi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, kegiatan mereka yang terlibat ini “tidak bermoral” ketika pelbagai usaha dipertingkatkan untuk memerangi rasuah.

“Saya menggesa kebobrokan seperti ini dihentikan. 

“Saya juga mendesak kerajaan dan kementerian untuk segera menjalankan siasatan rapi, cekap, dan telus serta mengheret dalang ke muka pengadilan,” katanya.

Skandal daging haram ditukar halal terbongkar awal bulan ini selepas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah stor di Senai, Johor yang didapati menyimpan daging beku dengan label halal yang disalah guna.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin menasihati semua pihak agar tidak membuat sebarang ulasan atau mengeluarkan pandangan berhubung isu daging seludup kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Mengikut undang-undang, daging dan produk daging import hanya dibenarkan dibawa masuk dari rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jakim.

Daging dan produk daging berkenaan juga perlu disahkan halal oleh badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim selain perlu mendapat sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia.

Urusan import daging dan produk daging juga memerlukan kelulusan permit Maqis.

Awal minggu ini, New Straits Times melaporkan bahawa kartel itu bersubahat dengan pegawai kerajaan untuk membawa masuk daging haram yang dilabel sebagai halal.

Daging yang dibawa masuk itu antaranya g kuda dan kangaru, serta daging yang tidak berkualiti yang dijual sebagai daging halal.

Sindiket ini dilapor beroperasi dengan memberi habuan wang dan wanita kepada pegawai terlibat. – 26 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen