Krisis cita-cita Oscar yang sekangkang kera


Haris Hauzah

FILEM dan lagu boleh saja bawa manusia keluar dari zon selesa hidup mereka. Ada masa ia bawa kita berjalan jauh kembali ke masa silam. Ada tikanya ia menerbangkan kita jauh ke langit masa hadapan. Merenung sejarah dan melihat-lihat bagaimanakah rupa dunia masa depan.

Sekiranya kita menyorot sejarah industri perfileman Malaysia kembali ke tahun 1960-an, nescaya kita akan jumpa dengan satu peristiwa duka yang jarang mahu dibincangkan oleh orang industri perfileman.

Pada tahun 1967, iaitu sewaktu P Ramlee bergelut pada penghujung kariernya dengan menghasilkan filem-filem seperti Anak Bapak, Keluarga 69 dan Sesudah Subuh, sementara Mat Sentul sedang giat mencipta nama, mula bereksperimentasi melalui filem-filem ajaibnya seperti Mat Bond dan Mat Raja Kapur, ada tragedi berupa gangguan yang melanda industri.

Pada tahun itu bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Tak semena-mena, jumlah penonton filem-filem Melayu di pawagam jatuh menyusut dengan ketara.

Tahun itu belum ada pandemik virus korona, cuma ada satu perkembangan dan kemajuan teknologi dunia yang tak mampu dielak sesiapa. Kebiasaan baharu pada sistem dan struktur dalam ekosistem sosial dan ekonomi bergeser hingga mengganggu cabang bidang penghasilan dan penyiaran filem negara.

Ada beberapa hal kala itu yang dikesan menjadi punca mengapa penonton filem Melayu mula hilang keterujaan pada filem-filem kita – salah satunya, teknologi televisyen yang tiba pada 1963.

Hal itu menyebabkan ramai rakyat mengubah trend kebiasaan mereka. Rakyat mula berusaha menabung untuk memiliki televisyen, sekali gus menukar norma penontonan masyarakat dari pawagam ke kaca televisyen.

Kemelut politik penarikan diri Singapura dari Malaysia juga turut menjadi punca. Ia mengakibatkan beberapa studio yang selama ini banyak mengeluarkan filem memberhentikan operasi mereka.

Ia memberi kesan kepada seluruh pekerja filem termasuk para pelakon dan pengarah filem, sehingga membawa kepada pertelingkahan antara kesatuan-kesatuan sekerja filem dengan studio-studio yang tersepit dalam keadaan.

Sebagai majikan, mereka bergelut antara tanggungjawab, tuntutan sosial, masalah kos pembikinan filem yang semakin mahal serta keadaan masyarakat dan pelbagai faktor serta tuntutan semasa.

Sebetulnya memang ada usaha untuk merancakkan semula industri filem Melayu di Malaysia. Rancangan membawa Shaw Brothers (SB) membuka pangkalan di Kuala Lumpur dari Singapura adalah langkah awal pemulihan industri yang dilakukan pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun rancangan pengambilalihan Merdeka Studio oleh Shaw Brothers itu tidak berjaya.

Akhirnya industri filem Malaysia dilanda kebanjiran filem-filem dari Hong Kong, India dan Indonesia.

Namun industri masih belum mahu putus asa. Antara usaha besar yang dilakukan bagi menyelamatkan industri kala itu adalah dengan menghasilkan filem-filem skrin lebar berwarna. Keseriusan itu dapat dilihat pada keberanian Merdeka Studio (MFP) membelanjakan wang sekitar RM750,000 bagi menerbitkan filem Raja Bersiong yang arahan Jamil Sulong.

Studio itu juga berbelanja besar untuk filem Nora Zain yang kita tahu pengarah, pelakon dan kebanyakan tenaga kerjanya adalah warga industri filem Hong Kong. Satu lagi filem mereka berjudul Rahsia Hatiku gagal teruk apabila langsung tidak pernah ditayangkan.

Keberhasilan tanda-tanda pemulihan industri hanya dapat dilihat pada tahun 1970 setelah penggubalan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Dasar yang digubal bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera kepada 30% itu telah mendorong para pelaburan untuk melabur dalam industri.

Perkembangan itu membuka mata institusi kewangan dan agensi kerajaan untuk turut serta dalam menyalurkan bantuan dan memperoleh keuntungan. Beberapa orang tokoh dalam industri filem seperti P Ramlee, Sarimah dan Jins Shamsuddin bekerjasama dengan para pelabur melalui penubuhan beberapa syarikat penerbitan.

Semakin ramai usahawan seperti Deddy Borhan masuk ke dalam industri dan melakukan pelaburan. Sabah Filem Production yang diasaskan Deddy Borhan kemudian menerbitkan filem-filem seperti Hapuslah Air Matamu, Menanti Hari Esok dan Si Badul misalnya adalah antara filem yang berjaya kekal lama semasa tempoh tayangan di pawagam. Ia sekaligus dianggap sebagai suatu kejayaan dalam mengembalikan semula perhatian umum kepada produk-produk filem tempatan.

Walau bagaimanapun perkembangan filem dunia telah terlalu banyak berkembang dan berubah, sedangkan industri filem Malaysia masih beroperasi dengan cara kerja dunianya yang lama. Kerangka industri filem kita masih 70-an, belum benar-benar maju dan jauh ketinggalan berbanding banyak negara.

Dasar Filem Negara (DFN) yang diwujudkan pada tahun 2005 dan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) pada 2009 hanya lebih banyak bawa harapan dari kemajuan. 

Semangat pada dua dasar yang dilihat mampu membuat lonjakkan melalui proses reformasi institusi dan proses tata kelola kerja jadi sia-sia.

Apabila dunia dilanda pandemik, kedua-dua dasar yang belum sempat jadi apa diganti pula dengan “Rancangan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek” yang penuh dengan segala jenis “gula-gula”, yang langsung tidak membantu memperkukuh dan memperkembangkan lagi “bubble opportunity” dalam industri.

Pemberian wang kerajaan itu hanya terfokus pada aspek pengeluaran dengan tumpuan terlalu diberi pada membiaya produksi. Ia sekaligus bertentangan dengan “blueprint DIKN” sebagai satu transformasi industri.

Tiadanya rancangan yang kukuh dan tersusun dalam pembangunan sumber manusia, infrastruktur dan pasaran baru hanya akan melemahkan daya tahan industri ini.

Kesungguhan kerajaan juga patut dipertikai apabila tiada pelan pelaburan jangka pendek, panjang dan sederhana yang dirangka bagi membangunkan semula industri yang terjejas akibat pandermik.

Celakalah kita apabila seni, sastera dan budaya hanya dipandang sebelah mata. Kerajaan prihatin ini lebih suka kita hanya duduk diam dalam zon selesa hidup kita.

Ternyata mereka tidak kreatif untuk bawa industri ini belajar dari masa silam dan terbangkan filem kita lebih jauh dari Oscar yang hanya sekangkang kera. – 26 Disember, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen