Masih belum ada sinar untuk peniaga pasar malam


Khoo Gek San

Kebanyakan peniaga ini terlibat dalam sektor bukan makanan dan mendakwa tidak menerima sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan untuk menempuh detik sukar ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2020.

RAMAI penjaja pasar malam mengambil keputusan untuk menggulung perniagaan mereka selepas jualan mereka mengalami penurunan mendadak ekoran pandemik Covid-19, kata persatuan peniaga.

Kebanyakan peniaga ini terlibat dalam sektor bukan makanan dan mendakwa tidak menerima sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan untuk menempuh detik sukar ini. 

Presiden Persekutuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia Yow Boon Choon memberitahu The Malaysian Insight bahawa perniagaan pasar malam hanya boleh mengekalkan 50% operasi sejak mereka dibenarkan berniaga semula pada 15 Jun lalu.

“Tidak dinafikan selepas gelombang ketiga, jumlah pengunjung ke pasar malam turun mendadak.

“Penjaja hanya boleh meneruskan hidup berdasarkan perniagaan harian mereka. Kerajaan kata bantuan akan diberikan kepada penjaja tetapi tiada.

“Penjaja sanggup tutup kedai dan memilih kerja lain selain sekadar ‘menghalau nyamuk’ di pasar malam.

“Sebelum ini, penjaja boleh mendapat RM300 hingga RM400 sehari tetapi kini hanya RM100 hingga RM200 sahaja.

“Tidak semua penjaja boleh menjana pendapatan. Hanya mereka yang menjual makanan boleh mendapat jualan berbanding mereka yang menjual barang keperluan dan pakaian.”

Beliau berkata perniagaan mula pulih selepas Jun tetapi apabila gelombang ketiga melanda, pengunjung mulai berkurangan.

Sekurang-kurangnya 20% vendor beralih ke perniagaan dalam talian untuk menjual barangan mereka tetapi jualan yang diperolehi tidak cukup menampung kos operasi.

Bagaimanapun perniagaan penjaja mempunyai hasil pendapatan yang berbeza di daerah yang berlainan.

Walaupun berlaku penurunan di Johor di mana penjaja bergantung kepada pelancong Singapura, tetapi pasar malam di wilayah tengah menjana lebih banyak pendapatan bergantung kepada kehadiran penduduk tempatan.

Jumlah pengunjung pasar malam mulai berkurangan apabila gelombang ketiga Covid-19 melanda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2020.

Tabiat pengguna berubah

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Malam Negeri Sembilan Lee Teong Chwee berkata kes Covid-19 di negeri itu dikesan melalui uijian saringan bersasar. Oleh itu, penduduk dari kawasan perumahan masih berkunjung ke pasar malam, katanya.

Bagaimanapun, dalam norma baharu, pengunjung tidak akan menghabiskan masa yang lama di pasar malam.

“Dulu, pengunjung akan tinjau dari satu gerai ke satu gerai. Sekarang, mereka terus balik selepas beli barang.

“Perniagaan makanan semakin bertambah baik sejak dua minggu lalu, jualan naik 80%.

“Tetapi, hanya jualan makanan saja, barang keperluan lain macam baju dan kasut susah nak dapat pelanggan. Orang ramai lebih suka beli di pasar raya,” kata Lee.

Oleh itu, gerai makanan kini mula mendominasi pasar malam di Negeri Sembilan, tambah beliau.

Di Kuala Lumpur pula, perniagaan pasar malam beransur-ansur pulih selepas rentas negeri dibenarkan, kata Presiden Penjaja-penjaja Bergerak Kuala Lumpur Lim Suai Chai pula.

“Banyak pasar malam, di Taman Connaught misalnya, jumlah pengunjung semakin ramai dan perniagaan semakin pulih antara 70 ke 80%. Pada Oktober dan November, perniagaan merosot 50%.”

Katanya, peniaga kini buka gerai lebih awal daripada kebiasaan, dan pengunjung tidak menghabiskan masa yang lama untuk membeli di pasar malam.

“Pukul 8 atau 9 malam peniaga dah tutup gerai, tak macam dulu, berniaga sampai pukul 10 malam. Tapi kita faham, tak ramai orang keluar rumah semasa wabak,” katanya. – 26 Disember, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen