Kartel daging berkuasa kerana integriti agensi lemah, kata pengkaji


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pendedahan kegiatan penyeludup edar daging dengan status halal palsu sejak 40 tahun lalu mendedahkan masalah integriti dalam semua agensi terlibat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2020.

PENDEDAHAN kegiatan penyeludup yang mengedar daging dengan status halal palsu sejak 40 tahun lalu mendedahkan masalah integriti yang serius dalam semua agensi terlibat, kata pengkaji.

Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Tuan Sidek Tuan Muda berkata, oleh sebab itu integriti semua agensi terlibat perlu diperkukuhkan untuk menanganinya.

Ia termasuk pengukuhan pensijilan dan operasi halal dan sistem pengesanan dalam rantaian bekalan tersebut untuk mengelakkan wujud ruang jenayah, katanya.

“Dalam isu ini, dua perkara perlu diberi perhatian dan ditambah baik iaitu isu integriti merangkumi pegawai yang terbabit dalam pensijilan dan penguatkuasaan.

“Kedua, sistem kebolehkesanan daging halal perlu diberi perhatian khusus bagi mengelak lompong dalam sistem sedia ada khususnya dalam isu daging yang diimport dari luar negara,” katanya.

Namun sekiranya sistem perolehan dan rantaian bekalan itu diubah menjadi lebih canggih sekalipun, ia tidak bermanfaat jika masih ada pegawai tidak berintegriti, katanya.

Mengulas tindakan yang perlu dikenakan ke atas pegawai terbabit, pensyarah itu berkata invididu dari kesemua agensi terlibat sepatutnya dihantar berkursus.

“Kursus ini patut melibatkan semua agensi yang berkaitan,” katanya lagi dalam satu forum anjuran UMP yang disiarkan langsung oleh universiti itu di media sosial petang ini.

Jelasnya, ia perlu melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Selain itu, agensi lain yang yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan halal di negara ini juga perlu dihantar berkursus meningkatkan integriti dan latihan cara berfikir untuk bertindak.

Sistem kebolehkesanan daging halal perlu diberi perhatian khusus bagi mengelak lompong dalam sistem sedia ada khususnya dalam isu daging diimport dari luar negara, kata penyelidik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2020.

“Mereka perlu diterapkan dengan cara berfikir, apabila membuat kebaikan, balasannya juga adalah kebaikan dan sekiranya membuat keburukan, keburukan yang sama akan sampai kepada kita.”

Beliau bercakap dalam forum anjuran UMP bertajuk Bekalan Daging Halal di Malaysia: Integriti, Cabaran dan Penyelesaian yang disiarkan langsung di media sosial oleh universiti itu.

Dua lagi pensyarah UMP yang bercakap dalam forum itu ialah Yudi Fernando dan Azizan Ramli yang mengaitkan mengenai kebergantungan yang tinggi, lebih 70% ke atas daging import.

Oleh itu risiko untuk terdedah kepada daging tidak halal menjadi lebih besar, menurut pengkaji ini dalam forum berkenaan.

Kartel berkenaan dilaporkan menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina yang dibungkus semula menggunakan logo halal untuk pasaran Malaysia.

Kegiatan tersebut, yang dilaporkan berlarutan sejak 40 tahun lalu terbongkar ekoran serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Gudang berkenaan didapati menjadi lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Sebanyak 1,500 tan daging sejuk beku bernilai kira-kira RM30 juta disita dalam operasi tersebut.

Laporan New Straits Times menyebut, kartel itu bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa masuk bahan berkenaan.

Ia turut menyebut, antara daging yang dibawa masuk adalah daging kanggaru dan kuda, yang dijual sebagai daging sebagai produk yang berstatus halal.

Pembongkaran itu menimbulkan desakan dari pelbagai pihak agar siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan tegas diambil ke atas pegawai yang terlibat.

Gesaan itu antara lain dinyatakan bekas menteri hal ehwal tani Salahuddin Ayub yang menggesa hukuman setimpal dikenakan ke atas penjenayah terlibat.

Kes tersebut kini disiasat beberapa agensi termasuk Jakim, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut polis, antara negeri yang dikenal pasti menjadi lokasi kemasukan daging beku secara haram ini ialah Kelantan dan Sarawak. – 24 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen