Kes Covid-19 dari pasar makanan laut menular ke 22 wilayah di Thailand


Pekerja migran diperiksa oleh petugas kesihatan di pasar Bangkok, Thailand, bagi mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar EPA, 24 Disember, 2020.

WABAK Covid-19 di Thailand menular ke sekurang-kurangnya 22 wilayah di negara itu dengan lebih 1,200 kes dikaitkan dengan pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon dilaporkan sehingga kini.

Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Sophon Iamsirithaworn berkata lebih 6,300 saringan Covid-19 dijalankan susulan jangkitan terbaharu di pasar makanan laut berkenaan.

“Hampir satu daripada lima ujian didapati positif Covid-19,” katanya pada sidang media di Bangkok, semalam.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Dr Sophon berkata sebanyak 65 kes dilaporkan di 22 wilayah di negara itu termasuk 16 kes di Bangkok diikuti Nakhon Pathom (10), Chachoengsai (enam), Samut Prakan dan Saraburi (masing-masing lima) dan Pathum Thani (tiga).

Kes indeks di pasar makanan laut dipercayai seorang penjual udang berusia 67 tahun yang didapati positif Covid-19 minggu lepas. Kebanyakan pesakit tidak bergejala.

Berikutan peningkatan kes, kerajaan Thailand mengenakan sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada waktu malam di Samut Sakhon.

Sehingga kini, Thailand merekodkan 5,762 kes Covid-19 dengan 60 kematian. Bagaimanapun, ia tidak termasuk kes di asrama pekerja asing di Samut Sakhon hari ini.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengarahkan 437 sekolah dan 299 prasekolah serta tadika di dalam kawasan pentadbirannya ditutup selama 12 hari bermula esok sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini mengarahkan pihak berkaitan untuk menubuhkan sebuah hospital lapangan dengan 1,000 katil di Samut Sakhon.

Prayuth yang juga Menteri Pertahanan juga mengarahkan pihak berkuasa untuk meningkatkan usaha menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara itu dan meningkatkan rondaan di sempadan negara.

Beliau dijadual mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) esok dan langkah tambahan dalam mengekang penularan wabak itu dijangka diumumkan. – Bernama, 24 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen