Wawasan 2020 adalah fiksyen sains-politik


Hasmi Hashim

TAK beberapa hari lagi, tahun 2020 akan habis. Masuk pula tahun 2021. Tapi bagi tahun 2021 tidak ada apa-apa yang dijanjikan.

Dua puluh sembilan tahun lalu, yang dijanjikan ialah Malaysia jadi negara maju sepenuhnya pada 2020.

Memang dari mula saya tidak faham, mengapa tahun 2020 yang dijadikan sasaran? Mengapa bukan 2009, 2015, 2016 atau tahun lepas sahaja, 2019? Mengapa mesti 2020?

Mungkin nombor 2020 itu cantik. Kalau hendak diikut nombor yang cantik, mengapa bukan 2000, atau 2002, atau 2222? Semua nombor itu juga cantik! Sekali lagi, mengapa mesti 2020?

Konon ceritanya, Dr Mahathir Mohamad mengambil angka “2020” kerana dalam bidang kedoktoran, angka paling sempurna bagi pemeriksaan mata ialah “20/20”.

Cerita berkenaan menunjukkan bagaimana nasib bangsa ini sering disandarkan hanya kepada pengalaman peribadi dalam satu bidang teknikal; dan bukannya pemikiran.

Kalau diperhalusi dan diamati, ia sebetulnya tidak lebih hanya sekedar alasan. Macam cakap seorang yang sasau.

Ini persoalan yang sangat asas, yang tidak selesai—meski tahun 2020 sudah sampai di penghujung.

Sekiranya soalan yang seasas ini tidak dapat diberikan penghujahan yang rasional, isi kandungan wawasan itu lebih-lebih lagilah hanya sekedar “goreng-gorengan”.

Bukan sesuatu yang padu, yang boleh dipegang.

Ketika Wawasan 2020 dibentang Dr Mahathir pada Februari 1991, satu Malaysia gegak gempita.

Surat khabar, majalah, TV dan radio berulang-ulang memutarkan tentang sebuah wawasan agung oleh seorang pemimpin hebat yang dikatakan mempunyai visi yang jauh.

Lagu propaganda pun dicipta. Anak-anak sekolah sehingga pelukis diminta melahirkan karya yang menggambarkan kemajuan sepenuhnya Malaysia di tahun 2020 kelak.

Muncullah lukisan kereta terbang melintasi bangunan-bangunan tinggi yang menyucuk bulan di Kuala Lumpur; juga gambar beca Melaka dan Pulau Pinang yang menggunakan enjin berkuasa tinggi; petani yang menanam padi di atas bangunan, dan; kita yang keluar rumah dengan baju seperti angkasawan.

Hari ini kita mungkin sudah tersedar, semua gambaran itu persis sebuah poster filem fiksyen sains yang gagal. Ia hanyalah sebuah fiksyen politik yang menjelekkan.

Dr Mahathir menyebutkan tidak semua matlamat Wawasan 2020 gagal.

Mungkin benar. Namun apa pun alasan untuk menutup kegagalan itu, dia tidak boleh dengan mudah menafikan bahawa matlamat besar wawasan ciptaannya yakni mahu “menjadikan Malaysia sepenuhnya negara maju” adalah telah gagal!

Kegagalan itu bukan hanya kerana dua pengganti Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri ke-5 dan 6 tidak memberi tumpuan, tapi seperti yang saya nyatakan di atas, wawasan berkenaan memang sudah disalah-bangun sejak mula.

Ibarat semua rumah yang runtuh selepas 29 tahun dibangunkan, sebabnya ialah asas rumah itu sendiri tidak kuat.

Kemudian berlaku pula banyak salah laku seperti korupsi dan kecuaian sehingga sepanjang tempoh wawasan mahu dicapai, satu demi satu projek bahkan syarikat kerajaan runtuh.

Kita tidak boleh bayangkan bagaimana skandal besar menjadikan syarikat seperti Perwaja, Bank Bumiputera, MAS, bahkan Proton semuanya mengalami masalah yang sangat serius.

Semua itu membuktikan betapa Wawasan 2020, selain fiksyen, ia juga tidak lebih hanya sebagai projek politik. Bukan projek pembangunan.

Rakyat hari ini boleh meneliti bahawa Wawasan 2020 dibentangkan empat bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Oktober 1990.

Di dalam PRU ke-8 itu, Barisan Nasional (BN) memenangi 126 kerusi daripada keseluruhan 165 yang ditandingi.

Di sana, kelompok pembangkang punya parti baharu, Parti Melayu Semangat 46 (S46): parti yang ditubuhkan selepas pepecahan Umno pada 1987.

Perpecahan tersebut adalah yang terburuk di dalam sejarah Umno.

Daripada 61 Parlimen yang ditandingi S46, parti itu menang 8 kerusi. Di samping itu, dua lagi parti yang sudah lama bermain dalam politik Malaysia iaitu PAS dan DAP juga mencatat peningkatan prestasi.

PAS menang 7 daripada 30 kerusi ditandingi, dan DAP menang 20 daripada 57 yang ditandingi.

Sekalipun keadaan ekonomi yang buruk melanda negara menjelang PRU kali ke-7, yakni empat tahun sebelum PRU ke-8 pada 1990, namun BN tetap mencatat keputusan lebih baik pada 1986.

BN menang 148 kerusi, iaitu lebih 22 kerusi berbanding keputusan tahun 1990.

Corak penyusutan sokongan kepada BN sudah bermula dalam dua kali PRU, iaitu pada 1986 dan 1990.

Hanya ketika PRU 1982 – setahun selepas Dr Mahathir menjadi PM—BN mencatat keputusan sangat baik.

BN menang 132 kerusi daripada 154. Selain kalah cuma 22 kerusi, jumlah peratusan undi yang diperolehi BN mencecah 85.7 peratus.

Sedangkan dalam PRU 1986, peratusan undi semakin rendah iaitu 83.6%; dan dalam PRU 1990 menyusut lagi menjadi 70.6%.

Pengurangan sokongan setiap kali PRU inilah yang sebenarnya membimbangkan Dr Mahathir.

Kalau tidak dilakukan sesuatu, nanti pasti sampai masanya Umno-BN akan kalah dan hilang kuasa sebagai parti pemerintah.

Inilah latar sebuah mantra ekonomi baharu perlu diwujudkan. Mantra itulah yang kemudiannya dikenali sebagai Wawasan 2020.

Dengan kempen yang besar dengan slogan Wawasan 2020, BN kembali mencatat kemenangan besar dalam PRU ke-9 pada 1995.

Peratusan sokongan kembali meningkat sehingga 84.4 peratus: 162 kerusi dimenangi daripada 192 kawasan keseluruhan. BN kalah hanya 20 kerusi.

Dalam kiraan mudah, daripada tahun Wawasan 2020 dibentangkan pada 1991, akan berlaku lagi lima PRU sehingga tahun 2020.

Jumlah dan jarak hampir 30 tahun ke depan diperkira sudah cukup untuk menyediakan asas kuat kepada Umno-BN kekal berkuasa selagi rakyat percaya dan menyokong wawasan Mahathir.

Dan sekiranya wawasan berkenaan mencapai matlamat, sudah tentu akan memperkuatkan BN bagi dekad mendatang selepas tahun 2020.

Dr Mahathir merancang; Tuhan juga merancang. Apa yang terjadi ialah prestasi BN secara kasar terus merosot setiap kali selepas PRU 1995.

Hanya pada 2004, kira-kira setahun selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan, BN sekali dapat mencatat kemenangan besar dengan meraih sehingga 198 kerusi—dan parti-parti pembangkang hanya menang 20 kerusi.

Keputusan PRU 2004 itu juga menjadi pencapaian terbaik BN sejak PRU 1978: PRU terakhir bagi BN sebelum Dr Mahathir diangkat menjadi PM.

Sekali pun Dr Mahathir selalu berbangga menyebutkan di era pemerintahannya BN kekal menang dua-pertiga kerusi Parlimen, kenyataan sebaliknya, dia juga tahu bahawa prestasi BN semakin merosot tahun demi tahun.

Oleh itu, Wawasan 2020 selain sebuah visi ekonomi yang gagal; sebagai sebuah projek politik pun ia gagal mempertahan Umno dan BN.

Tempoh lebih 60 adalah tempoh yang terlalu lama bagi sebuah parti terus menang dan memerintah dalam sebuah negara yang demokrasi.

Hari ini, formula Umno-BN mulai ditiru dan hendak disambung pula oleh PPBM dan Perikatan Nasional (PN).

Kalau Umno-BN yang terbina dari asas yang kuat sejak kemerdekaan pun bisa runtuh, wajarlah sesiapa pun ragu dengan keupayaan PPBM-PN yang didirikan hanya atas asas politik khianat.

Bukanlah jelas bahawa PPBM-PN itu sendiri lahir dari benih Mahathirisme dalam rahim Wawasan 2020?

Dengan begitu cepat, umum sebenarnya menjadi tidak peduli pun dengan satu lagi wawasan yang ditampilkan; yang dipanggil sebagai “Dasar Kemakmuran Bersama 2030.”

Namanya memang lain; tapi isinya tetap sebuah fiksyen yang tidak boleh disandarkan apa-apa impian lagi. – 24 Disember, 2020.
 

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen