Covid-19 akibatkan miskin bandar, kata Adun Selangor


Hailey Chung Wee Kye

Covid-19 menyebabkan ramai penduduk besar jatuh miskin kerana hilang pekerjaan dan perniagaan ditutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2020.

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan kepada pertambahan kumpulan miskin bandar, kata seorang Adun Selangor, yang menjadikan kawasannya di Kota Anggerik sebagai contoh.

Najwan Halimi memberitahu The Malaysian Insight walaupun tiada kajian mengenai perkara ini, bukti anekdot menunjukkan ia berlaku di pusat bandar di Selangor, negeri terkaya di negara ini.

Adun PKR itu berkata sangat kecewa melihat rakyat yang “normal” sebelum Covid-19 kini hilang perniagaan, sumber pendapatan dan pekerjaan mereka.

“Jika anda melihat Shah Alam, anda mungkin melihat rumah teres, rumah batu tetapi sebenarnya rumah orang miskin. Sebuah rumah teres mungkin memuatkan sehingga 10 ahli keluarga dengan hanya seorang pencari nafkah.”

Najwan memberikan contoh kes di Seksyen 9, Shah Alam, bagi mengukuhkan lagi pandangannya mengenai kemiskinan bandar yang berlaku akibat wabak tersebut.

“Di sinilah golongan elit tinggal di Shah Alam, tetapi ada sebuah keluarga dengan sembilan ahli, dua belajar di universiti dan tiga di sekolah menengah.

“Mereka hanya memiliki satu komputer riba dan ia rosak. Setiap kali ada kelas dalam talian, mereka perlu meminjam telefon ibu bapa mereka. Oleh itu, kami memberi mereka komputer riba baharu,” katanya.

Seorang lagi penduduk di Setia Alam meminta Najwan menemaninya ke bank untuk membantu berunding dan menjadualkan semula pinjaman keretanya.

Bank bertindak merampas kereta tersebut kerana pemiliknya gagal melunaskan bayaran bulanan.

“Saya katakan kepadanya tidak dapat berbuat demikian tetapi akan membantu dengan apa yang saya termampu,” kata Najwan.

Setiap Adun Selangor mempunyai peruntukan tahunan sebanyak RM800,000.

Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi berusaha menggunakan peruntukan yang diterima sebaik mungkin untuk membantu penduduk di kawasannya yang terjejas akibat pandemik. – Gambar ihsan Najwan Halimi, 24 Disember, 2020.

“Saya mempunyai 52,000 pengundi di kawasan saya. Jadi, saya perlu betul-betul merancang bagaimana mengagihkan peruntukan saya, termasuk untuk projek seperti membina perhentian bas dan jalan raya.
“Tahun ini, banyak perayaan dibatalkan dan kami menyalurkan wang itu kepada bank makanan.

“Sehingga kini, saya sudah membelanjakan kira-kira RM120,000 untuk bank makanan dengan lebih 4,000 keluarga mendapat bekalan makanan asas.”

Selain membantu mereka yang terjejas secara ekonomi, Najwan berkata pejabatnya juga membantu keluarga yang ahlinya dijangkiti Covid-19.

“Apabila seseorang disahkan Covid-19, seluruh keluarga harus dikuarantin selama 14 hari. Kami menghantar bantuan kepada keluarga yang tinggal di sebuah banglo yang diwarisi daripada arwah ibu bapa mereka.

“Ketua keluarga terpaksa dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan 11 anggota keluarga yang lain dalam kesusahan. Oleh itu, kami menghantar makanan, lampin pakai buang dan mengatur pasukan perubatan untuk menolong mereka melakukan ujian calitan.”

Bagaimanapun, terdapat hikmah apabila sesuatu perkara buruk berlaku kerana ia menyebabkan masyarakat lebih bersatu, kata Najwan.

“Masyarakat lebih responsif terhadap jiran mereka dan ada rasa empati lebih besar dengan orang mula hidup tanpa mementingkan diri dengan sikap ‘kita jaga kita’.

“Saya semakin rapat dengan penduduk di kawasan saya. Sekiranya mereka tidak dapat mengunjungi pusat perkhidmatan, mereka akan menghantar SMS kepada saya di Facebook, Twitter dan Instagram.”

Sebilangan besar meminta bantuan wang tunai dan bantuan kecil. Pusat perkhidmatannya mengesan kira-kira 30 hingga 40 pelawat pada hari bekerja.

“Pada masa ini, kebanyakan permintaan adalah untuk sumbangan naik ke sekolah. Juga, untuk menerapkan inisiatif RiDE (Roda Darul Ehsan) oleh kerajaan negeri untuk membantu golongan belia menceburi perniagaan e-hailing.” – 24 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen