Jadikan Selangor contoh negeri hijau, kata Adun


Hailey Chung Wee Kye

Adun Kota Anggerik Najwan Halimi mahu Selangor menjadi contoh sebuah negeri hijau dengan bersama-sama menjaga kehijauan serta hutan di negeri ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2020.

SELANGOR, sebagai negeri termaju di Malaysia perlu memimpin dan memberi contoh bagaimana menjadi negeri hijau, kata Adun Kota Anggerik Najwan Halimi.

“Selangor ketika ini sedang merancang untuk menjadi negara digital dengan ‘Smart Selangor’ dan ‘Agenda Digitalisasi Selangor’. Kita juga dapat maju sebagai model negara hijau dengan dasar yang mampan.

“Sementara kita mengembangkan negeri ini, kita juga perlu bersama-sama menjaga kehijauan dan hutan di Selangor,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemuda PKR itu menimbulkan kekecohan apabila menjadi antara wakil kerajaan pertama yang menandatangani surat petisyen Gabungan “Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara” pada 29 Oktober bagi menentang pemansuhan status warta hutan simpan berkenaan.

Beliau juga mengemukakan usul dalam sidang DUN Selangor baru-baru ini bahawa setiap pemansuhan status warta hutan simpan perlu dilakukan setelah berunding dengan penduduk, pihak berkepentingan dan professional.

Kedua-dua Adun Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sebulat suara memilih untuk memelihara hutan simpan di Selangor.

Selangor merancang untuk membangunkan 931 hektar hutan paya gambut yang bersempadanan dengan Cyberjaya, Putrajaya dan Putra Heights serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu untuk “pembangunan campuran”.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan daripada kumpulan hak asasi dan Orang Asli yang menganggap banyak kawasan hutan simpan sebagai rumah mereka.

“Buat masa ini saya melihat kerajaan negeri belum memberikan keputusan mengenai masalah ini. Saya harap kerajaan negeri dapat menyatakan kedudukannya mengenai hal ini.

“Yang penting ialah kerajaan negeri memperketat dan memperbaiki dasar-dasar berkaitan dengan perlindungan serta pemuliharaan alam sekitar terutama yang melibatkan hutan simpan dan kawasan Orang Asli agar masalah ini tidak berulang lagi,” katanya.

Najwan berkata ketika beliau mengemukakan usul berkenaan, ia mewakili suara rakyat di kawasannya. Dan sebulat suara daripada semua Adun Selangor melambangkan suara seluruh Selangor.

“Walaupun Kuala Langat bukan berada di kawasan saya, ada juga hutan di kawasan saya. Saya sering bergaul dengan ahli alam sekitar dan mereka mengatakan ini adalah masalah penting. Oleh itu saya katakana ok, saya akan mengetuainya,” katanya.

Beliau juga menggesan Adun lain memainkan peranan mereka.

“Isu persekitaran perlu diperjuangkan oleh semua orang, bukan hanya NGO. Tandatangan petisyen itu mudah, tapi bagaimana saya berperanan sebagai Adun,” katanya.

Beliau berkata pada Mac 2019 Sultan Selangor bertitah mengarahkan kerajaan negeri untuk tidak menceroboh hutan simpan bagi memelihara kawasan tadahan air.

“Melindungi hutan juga akan menyelesaikan masalah Selangor yang lain seperti melindungi sumber air kita.

“Jika kita menjaga alam, alam akan menjaga kita. Jika kita menganggu hutan, kita mungkin berdepan masalah bekalan air,” katanya. – 24 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen