Polis batal pertemuan dengan Guan Eng 


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata polis mahu mengambil keterangannya berhubung dua siaran media pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2020.

POLIS membatalkan pertemuan untuk merakam kenyataan Lim Guan Eng yang dijadualkan pada Khamis.

Setiausaha agung DAP berkata peguamnya Gobind Singh Deo memaklumkannya polis akan menetapkan tarikh baharu pada tahun depan.

“Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah meminta maaf menerusi pesan teks kepada saya atas pegawainya yang terlepas pandang dalam menetapkan tarikh merakam kenyataan saya pada malam Krismas. Saya berterima kasih atas ucapan Krismasnya kepada saya dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya diambil keterangan pada pukul 10 pagi di IPD Timur Laut  berhubung dua kenyataan medianya pada 2019.

Namun tidak dapat dipastikan ia merujuk kepada kenyataan media mana. Pada 2019, Lim merupakan menteri kewangan dan ahli Parlimen Bagan.

“Tindakan penganiayaan politik oleh Perikatan Nasional diteruskan dengan polis menghubungi peguam saya dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo untuk merakam kenyataan saya terhadap dua siaran akhbar yang dibuat pada 2019.

“Saya mungkin akan berjumpa polis pada Khamis ini, ia ‘hadiah’ Krismas daripada kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam laporan media semalam. – 23 Disember, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen