Forum gesa penubuhan tribunal bendung diskriminasi kaum terhadap penyewa


Elill Easwaran

Pertikaian melibatkan tuan rumah dan penyewa melalui tribunal lebih menjimatkan masa dan kos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2020.

PUTRAJAYA patut menjadikan penubuhan tribunal penyewa-tuan rumah sebagai keutamaan untuk mencegah pemilik hartanah melakukan diskriminasi kaum, kata Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Beliau berkata proses tribunal lebih menjimatkan masa dan kos serta menyelamatkan kedua-dua belah pihak daripada bebanan proses undang-undang.

Bagaimanapun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan masih belum memberi sebarang respons berhubung cadangan yang diajukan Rishyakaran minggu lalu.

“Saya harap menteri menyedari wujudnya masalah perumahan yang perlu ditangani dan ia wajar mendapat perhatian.

“Walaupun tribunal bukanlah penyelesaian utama bagi isu diskriminasi kaum di kalangan tuan rumah, sekurang-kurangnya ia dapat memberi perubahan dalam sikap tuan rumah,” katanya pada forum dalam talian malam tadi.

Peguam dan aktivis hak awam Syahredzan Johan, yang merupakan peserta forum itu, berkata bekas kerajaan Pakatan Harapan melakukan beberapa usaha untuk membendung diskriminasi kaum terhadap penyewa tetapi progres terhenti susulan perubahan kerajaan.

Beliau berkata Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang secara khusus menangani diskriminasi kaum antara individu.

Katanya, Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan melarang diskriminasi kaum di negeri ini.

Beliau berkata undang-undang tidak terpakai bagi perselisihan antara rakyat biasa.

“Apabila menyentuh isu penyewaan, sebagai peguam, sendiri saya tidak akan menyarankan tuan rumah membawa kes ke mahkamah kerana ia akan melibat kos yang banyak dan kes ini akan memakan masa sekurang-kurangnya setengah tahun,” kata Syahredzan.

“Inilah sebabnya mengapa mempunyai tribunal bagus kerana kos akan jauh lebih murah,” katanya. – 23 Disember, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen