Rakyat Pulau Pinang tak maafkan Putrajaya jika feri ditamatkan, kata Ramasamy


Selepas perkhidmatan feri ikonik ditamatkan dan digantikan dengan katamaran, ia tidak akan dapat mengangkut kenderaan empat tayar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2020.

RAKYAT Pulau Pinang tidak akan memaafkan kerajaan persekutuan jika perkhidmatan feri berusia 126 tahun itu ditamatkan, kata Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy, dan mendakwa menteri pengangkutan dan kewangan tidak sehaluan dalam hal itu.

“Satu perkara yang pasti ialah jika perkhidmatan feri ditamatkan, rakyat Pulau Pinang tidak akan maafkan Putrajaya, walau apa pun alasan munasabahnya.

“Malah ada sesetengah rakyat Pulau Pinang berpendapat perkhidmatan feri itu adalah peninggalan sejarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramasamy turut mengecam Kementerian Kewangan dan Pengangkutan kerana tidak sehaluan dalam hal itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perkhidmatan itu akan diteruskan, sementara Kementerian Pengangkutan bercadang untuk menggantikan feri dengan katamaran.

“Nampaknya dua kementerian persekutuan tidak bekerjasama,” katanya.

“Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bersiap sedia untuk beralih kepada perkhidmatan katamaran.

“Namun, mengikut kenyataan oleh Tengku Zafrul, mereka tidak jelas dengan hala tuju berikutnya.”

Ramasamy berkata dua kementerian itu perlu sehaluan dan membuat pengumuman jelas berkenaan isu itu.

Tidak seperti feri, katamaran atau bas air tidak boleh mengangkut kenderaan empat tayar kerana ia hanya boleh membawa penumpang dan motosikal serta basikal.

Ini akan menyebabkan keadaan kesesakan lalu lintas di dua jambatan Pulau Pinang.

“Saya tidak pasti kenapa Tengku Zafrul membuat kenyataan itu tanpa berunding dengan Menteri Pengangkutan Wee Kia Siong.”

Bagaimanapun, Tengku Zafrul belum memberi penjelasan lanjut berkenaan kenyataan diberikan di Parlimen itu berkenaan perkhidmatan feri.

Ramasamy berkata bukannya Tengku Zafrul tidak dapat membezakan antara perkhidmatan feri dan kamataran.

“Kesilapan bolehberlaku terutama jika menteri kurang pengalaman atau tiba-tiba diletakkan memegang jawatan itu.”

Dalam kes ini, Ramasamy berkata menteri kewangan sepatutnya mengakui kesilapannya.

PPC baru-baru ini berkata perkhidmatan feri akan berakhir 1 Januari dan digantikan dengan katamaran, yang akan hanya membawa penumpang.

Pulau Pinang membantah langkah itu, berkata perkhidmatan ikonik itu patut dikekalkan.

Tengku Zafrul minggu lalu di Parlimen berkata kerajaan persekutuan akan mengekalkan perkhidmatan feri dan meneruskan perjanjian dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan berkenaan perkhidmatan itu. – 23 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen