Memorial MH370 dibina di Perth


Perth menjadi pilihan kerana lokasinya yang berhampiran Lautan Hindi, kawasan di mana jejak terakhir pesawat itu dikesan. Pesawat Boeing 777 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang hilang dari radar pada 8 Mac 2014. – Gambar EPA, 24 Disember, 2017.

MEMORIAL MH370- pesawat penerbangan Malaysian Airlines (MAS) yang hilang pada 2014- akan diabadikan di Elizabeth Quay, Perth kata Menteri Utama Australia Barat (WA) Mark McGowan, lapor portal perthnow.com.

Memorial yang dijangka siap pada separuh kedua 2018 itu dibiayai secara bersama oleh kerajaan WA dan persekutuan Australia.

Perth menjadi pilihan kerana lokasinya yang berhampiran Lautan Hindi, kawasan jejak terakhir pesawat itu dikesan.  

Lokasi memorial itu akan ditentukan nanti, tetapi akan terletak di salah satu daripada empat tapak pulau buatan manusia, Elizabeth Quay.

Menurut McGowan, memorial itu adalah untuk mengenang mangsa termasuklah tujuh warga Australia.

“Peringatan negara ini akan menjadi satu cara dunia memberikan penghormatan kepada pesawat MH370, termasuk tujuh orang yang memanggil Australia rumah (negara) mereka, dan untuk semua keluarga dan rakan-rakan mereka,” kata McGowan.

Pesawat Boeing 777 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal hilang dari radar pada 8 Mac 2014. 

Kehilangannya menjadi misteri meskipun pencariannya menggunakan model dan teknologi canggih di kawasan Lautan Hindi, 2,500 kilometer dari Perth.

Pencarian yang dianggap terbesar dan termahal dalam sejarah penerbangan dunia moden itu dihentikan Januari lalu. – 24 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen