SYARIKAT media berorientasikan anak muda, Vice Media mengakui pada Sabtu yang ia membenarkan “budaya jijik kelab lelaki” untuk berkembang dan gagal melindungi pekerja wanitanya daripada gangguan seksual.
Kenyataan daripada Vice menyebut yang tiga pekerja sudah dibuang selepas dakwan “beberapa kejadian sikap yang tidak boleh diterima” timbul.
New York Times pada Sabtu dalam laporan mendalam tentang budaya syarikat itu berkata ia menemui empat kes yang diselesaikan secara rundingan berkaitan pekerja Vice atas dakwaan gangguan seksual atau fitnah. Akhbar itu juga menembual lebih daripada 100 pekerja atau bekas pekerja dan mendengar aduan ramai pekerja wanita.
“Ia berlaku dalam pengetahuan kami,” kata Vice dalam kenyataan itu, “dan akhirnya kami mengecewakan ramai orang. Kami minta maaf atas perkara ini.”
Kenyataan itu ditandatangani oleh pengasas bersama Vice, Shane Smith dan Suroosh Alvi yang menambah syarikat itu akan terus menyiasat perkara itu dan sudah melakukan beberapa tindakan bagi menghapuskan budaya kerja yang dianggap ramai pekerja wanitanya sebagai “toksik”.
Kes ini adalah kes terbaru berprofil tinggi mengenai gangguan seksual- dalam politik, hiburan dan media- yang menyebabkan penyingkiran, perletakan jawatan dan pemecatan ramai tertuduh.
Tetapi tidak seperti kes sebelum ini yang banyak melibatkan lelaki dalam usia 50 hingga 70-an, Vice adalah syarikat baru yang berkembang pesat, dianggap tempat kerja impian ramai anak muda berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an.
Dalam kenyataan itu, syarikat itu menyalahkan “kesan perkembangan pesat kami”- Vice berkembang sejak dua dekad lalu daripada sebuah syarikat majalah kecil yang menjunjung semangat punk kepada sebuah syarikat media global bernilai lebih AS$6 bilion. Tetapi menurutnya, itu bukan alasan.
Ia menyenaraikan beberapa usaha mengatasi masalah gangguan seksual, termasuklah memperkukuhkan proses latihan dan laporan, bertekad untuk melaksanakan upah setara tanpa mengira gender sebelum 2019 serta membentuk lembaga penasihat yang terdiri daripada ikon feminis antaranya Gloria Steinem sebagai ahli.
Timbul beberapa laporan sebelum ini daripada pekerja wanita syarikat itu yang mendakwa mereka diganggu secara seksual malah dipecat kerana melaporkannya.
Puluhan wanita, lapor New York Times, mengatakan mereka “mengalami atau menyaksikan salah laku seksual,” yang disifatkan kesan daripada etos pihak atasan yang melihat lelaki lebih diutamakan di Vice dan wanita hanyalah pelengkap tempat kerja.
“Persekitarannya toksik,” kata Sandra Miller, bekas eksekutif Vice, “di mana lelaki boleh kata perkara jijik dan wanita dilayan hina berbanding lelaki.” – AFP, 24 Disember, 2017.
Komen