Pelajar asing dibenar masuk ke negara ini, kata Ismail


Elill Easwaran

Pelajar asing akan dibenarkan memasuki negara ini bagi melanjutkan pelajaran mereka mulai Januari dan perlu menanggung sendiri kos saringan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2020.

PELAJAR asing akan dibenarkan memasuki negara ini bagi melanjutkan pelajaran mereka mulai Januari, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata kebenaran diberi kepada semua pelajar di seluruh dunia kecuali pelajar dari United Kingdom (UK).

“Kos ujian swab perlu ditanggung oleh pelajar itu sendiri,” kata menteri kanan dalam sidang media hariannya hari ini.

Pelajar-pelajar ini dilarang memasuki Malaysia berikutan penutupan sempadan negara bagi mengekang penyebaran Covid-19. 

“Pelajar yang terlibat adalah pelajar lama dan juga baru yang mendapat tawaran daripada universiti.

“Pelajar yang kembali ke Malaysia diwajibkan mempunyai asrama sebelum meninggalkan negara mereka,” katanya hari ini.

Sepertimana yang disebutkan minggu lalu, mereka yang datang ke Malaysia dari luar negara diwajibkan melakukan ujiab swab tiga hari sebelum penerbangan dan setelah tiba di KLIA, satu lagi ujian swab akan dilakukan.

“Setelah diuji negatif, mereka akan dihantar ke pusat kuarantin,” katanya.

Beliau menambah kerajaan juga membenarkan pelajar sekolah antarabangsa memasuki negara ini

Untuk pelajar sekolah antarabangsa, hanya mereka yang sudah diluluskan permohonan dan memperoleh visa dibenarkan memasuki negara ini. – 22 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen