TIGA puluh tujuh orang dipercayai terbunuh dalam sebuah kebakaran kompleks membeli belah di bandar Davao selatan Filipina, kata timbalan datuk bandar pada Ahad.
Komander Biro Kebakaran di tempat kejadian berkata peluang untuk 37 orang itu hidup “kosong”, tulis Paolo Duterte, timbalan datuk bandar yang juga anak kepada presiden negara itu di Facebook.
Kebakaran itu berlaku di kompleks membeli belah empat tingkat NCCC Mall pada pagi Ahad dan ramai orang terperangkap di dalam termasuklah pekerja sebuah pusat khidmat pelanggan di tingkat atas, kata seorang pegawai polis, Ralph Canoy kepada AFP.
Canoy berkata api masih marak pada pagi Ahad.
“Kebakaran bermula di tingkat tiga yang menyimpan banyak produk seperti kain, perabot kayu dan barangan plastik jadi api cepat merebak dan ambil masa lama untuk dipadamkan,” katanya.
Beliau berkata penyiasat percaya mereka yang terbunuh terperangkap di pusat khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam itu.
“Mungkin ketika mereka bekerja, mereka tak sedar yang api sedang merebak,” kata Canoy lagi.
Presiden Rodrigo Duterte yang pernah menjadi datuk bandar Daovo hampir dua dekad dan masih tinggal di bandar itu melawat kawasan kejadian untuk bertemu dengan ahli keluarga mangsa.
Davao adalah bandar terbesar di selatan Filipina, hampir 1,000 kilometer dari selatan Manila. – AFP, 24 Disember, 2017.
Komen