KENYATAAN ini merujuk kepada beberapa laporan New Straits Times pada 21 dan 22 Disember 2020 berkenaan dengan “kartel” yang mengimport daging ke Malaysia.
Menurut laporan tersebut, kartel itu bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi Kerajaan untuk membawa daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.
Juga menurut laporan tersebut, antara daging yang dibawa masuk adalah daging kanggaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.
Laporan tersebut juga mendakwa bahawa pegawai terlibat menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging tersebut.
Laporan ini menimbulkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan umat Islam di Malaysia. Status halal daging yang berada di pasaran Malaysia mendapat kepercayaan yang tinggi di kalangan rakyat, khususnya yang beragama Islam.
Di samping itu, laporan tersebut juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan makanan (food safety) di Malaysia yang bukan sahaja melibatkan mereka yang beragama Islam, tetapi juga rakyat Malaysia secara amnya.
Dilaporkan daging yang dibawa masuk adalah haiwan yang berpenyakit atau daging yang berkualiti rendah.
Ia sudah tentu akan memberi kesan kepada keyakinan orang ramai terhadap status halal daging tersebut dan juga dari aspek keselamatan makanan, termasuk cara ia dikendalikan dan disimpan.
Pihak kerajaan harus memandang serius terhadap laporan ini, dan pihak berkuasa termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus segera menjalankan siasatan yang menyeluruh ke atas perkara yang didedahkan oleh laporan tersebut.
Perkara ini, sekiranya benar, sekali lagi menunjukkan rasuah dan korupsi adalah barah dalam masyarakat.
Ia bukan sahaja merugikan negara dari segi wang ringgit, tetapi boleh menghakis keyakinan umum terhadap integriti daging halal yang dibawa masuk ke dalam negara, di samping menimbulkan keraguan terhadap keselamatan makanan di Malaysia. – 22 Disember, 2020.
* Syahredzan Johan, setiausaha politik ahli Parlimen Iskandar Puteri.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen