Muhyiddin antara individu terawal terima suntikan vaksin Covid-19


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Kesihatan akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 di kalangan penerima. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2020.

MUHYIDDIN Yassin berkata beliau akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi meyakinkan rakyat yang vaksin diperoleh negara selamat dan berkesan.

Perdana menteri berkata ini akan diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera. 

“Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin daripada Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasaran seawal Februari 2021,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam video perkembangan terkini berhubung pemberian vaksin Covid-19 untuk rakyat Malaysia yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Menurut perdana menteri, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin itu dalam kalangan penerima.

“Sekali lagi saya ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menghayati dan membudayakan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian walaupun setelah kita menerima bekalan dan suntikan vaksin. 

“Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telahpun berada dalam komuniti,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengamalkan kebiasaan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal. – Bernama, 22 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen