Isu Muslim kahwin Sikh: Masa untuk tonjolkan keindahan Islam


HEBOH di media tentang majlis perkahwinan antara seorang remaja perempuan Melayu/Islam dari Malaysia Illi Najwah Saddique dengan ketua pasukan hoki India yang dilangsungkan di Punjab, India mengikut upacara keagamaan masyarakat Sikh. 

Ya, isu ini terlalu sensitif dan agak sukar juga untuk saya mendekati isu serumit ini. 

Saya harus katakan kepada para teman yang berbangsa Sikh, saya harap anda semua faham dan mengerti keresahan umat Islam dalam isu-isu seperti ini kerana umat Islam amat sensitif dan peka dengan kepercayaan atau pegangan mereka.  

Bagi mereka – umat Islam – tiada ruang untuk berkompromi dalam isu akidah atau pegangan kepada agama. 

Ya, mereka amat amat serius berkaitan soal pegangan agama atau akidah mereka kerana mereka menganggap ia soal pertimbangan hidup dan mati (life and death) meskipun mungkin setengah mereka tidak begitu serius mengamalkan ajaran agama mereka sendiri. 

Secara peribadi, saya amat faham sensitiviti isu seperti ini kerana sebagai mantan peguam saya pernah terlibat secara langsung dengan isu pertukaran agama atau dalam istilah agama Islam, isu murtad. 

Saya arif sangat kesan isu seperti ini, bukan sahaja kepada pihak yang terlibat dan keluarga mereka malahan juga terhadap isu keharmonian dan perpaduan kaum serta agama khususnya dalam masyarakat rencam bangsa dan agama seperti negara ini jika ia gagal ditangani dengan baik dan penuh berhikmah serta dengan “cool head”.

Dengan kaveat di atas, saya cuba untuk kemukakan sudut pandang atau perspektif saya berkaitan isu ini. 

Saya tak mahu kata pandangan saya ini sebagai mewakili kebenaran tunggal dan juga mewakili pandangan masyarakat Islam. 

Bagi saya, tulisan ini tidak lebih hanya sekadar pandangan saya yang tertakluk kepada pelbagai kelemahan dan mungkin juga kesalahan dan kesilapan. 

Izinkan saya mendekati isu ini dengan menyatakan ini: semarah mana pun kita umat Islam kepada wanita remaja ini atau keluarga beliau, kita juga, pada masa sama, mempunyai tanggungjawab persaudaraan Islam untuk sama-sama cuba dan berusaha mencari penyelesaian tuntas dan terbaik kepada isu ini. 

Mungkin, sebagai permulaan, kita tidak wajar menambah parah lagi kerumitan isu ini khususnya dengan memberikan tekanan berterusan yang tidak sepatutnya kepada wanita remaja ini dan keluarga beliau. 

Ya, seteruk mana pun kita mungkin merasai bebanan kes ini, saya percaya teruk lagi bebanan yang dihadapi oleh wanita remaja ini dan keluarga beliau. 

Justeru itu, bagi saya, dengan hormat, sebarang elemen “holier than thou” harus dielakkan. 

Sebaliknya, bagi saya,  penonjolan “Islam is merciful to all” sewajarnya dan sepatutnya diketengahkan. 

Saya yakin segala keputusan yang wanita remaja ini lakukan bertitik tolak dari rasa cinta yang amat mendalam ke atas pasangan hidup beliau tersebut dan kita semua tahu bahawa cinta itu buta. 

Kerana sifat “cinta yang buta” itu apatah lagi dalam kalangan pasangan remaja, maka tidak mustahil wujudnya keculasan, kecuaian, kealpaan dan kegopohan dalam proses membuat keputusan. 

Justeru itu, saya amat berharap apa yang wanita remaja Islam ini lakukan di Punjab itu, yang mungkin boleh ditafsirkan melanggar batasan dan sempadan agama dan aqidah, hanyalah semata-mata bertitik tolak daripada kejahilan dan kealpaan beliau, justeru melayakkan beliau dikurniakan keampunan oleh Allah atas RohmatNya yang amat luas itu, sekiranya beliau bertaubat. 

Isu ini juga, kita tahu, merentasi sempadan geografi dan ada kesan tertentu dalam soal hubungan diplomatik dan geopolitik antara dua buah negara. 

Maka, tidak dapat tidak, sebarang keputusan dalam isu ini diharap dapat diperhalusi secermat mungkin dan mengambil kira semua sudut dan keadaan. – 21 Disember, 2020.

* Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Sepang


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen