Pelancong bertambah tetapi pengusaha di Langkawi belum sedia


Zaim Ibrahim

Pelancong mula semakin ramai datang ke Langkawi sejak awal bulan ini, tetapi pengusaha pelancongan masih teragak-agak memaksimumkan operasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2020.

PENGUSAHA pelancongan di Langkawi masih teragak-agak untuk memaksimumkan operasi walaupun pelancong mula semakin ramai datang ke pulau bebas cukai itu sejak awal bulan ini, kata badan industri.

Beberapa badan pelancongan di Langkawi memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan tempahan hotel penuh hingga ke akhir tahun sempena cuti sekolah, Krismas dan sambutan Tahun Baru 2021.

Bagaimanapun mereka menjelaskan masih memerlukan masa dan bantuan lain untuk mengekalkan perniagaan.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Mohd Yussin Mohd Yatim berkata beberapa hotel di Langkawi mengalami masalah kekurangan kakitangan selepas memberhentikan pekerja ketika peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

“Bukan pihak hotel tidak mahu panggil pekerja semula atau buat lantikan baharu, tapi mereka masih mengambil masa untuk stabilkan operasi.

“Jika dulu selepas seseorang tetamu ‘check out’, proses pembersihan hanya 20 minit tetapi kini 40 minit kerana kita perlu jalankan proses sanitasi seluruh bilik.

“Begitu juga dengan pemilik kereta sewa, contohnya ada 10 kereta, mereka masih berbelah bahagi untuk gunakan seluruh atau tidak kerana jika tiba-tiba kerajaan umumukan PKP semula, mereka terpaksa tanggung kerugian kerana kenderaan sewa perlu servis dahulu sebelum digunakan,” katanya.

Yussin berkata ramai juga pengusaha ejen pelancongan kini menjalankan perniagaan secara separuh masa setelah mereka jadi nelayan atau peniaga makanan untuk meneruskan kehidupan di tengah pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi.

Walaupun ada peningkatan pelancong bulan ini di Langkawi, tetapi perniagaan tidak sama seperti 2019 dan 2018, kata peniaga di pulau bebas cukai itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2020.

“Saya bimbang trend ini akan berlanjutan, kerjaya ejen pelancongan hanya dijalankan bermusim… cuti hari minggu atau cuti sekolah saja.

“Apabila perkara ini berlaku, sudah tentu mereka akan bergerak tanpa lesen daripada kementerian kerana masalah kewangan.

“Saya risau bukan saja di Langkawi tetapi seluruh Malaysia.

“Jika ejen pelancongan tidak mendapat bantuan sewajarnya, akhirnya mereka akan bergerak hanya ketika mendapat permintaan dan tanpa lesen,” tambahnya.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Kedah/Perlis Eugene Dass pula berkata kadar kepenghunian bagi Disember hingga awal Januari meningkat sebanyak 50% lebih-lebih di Pantai Cenang.

“Kita belum boleh berpuas hati, kita belum pun capai ke tahap normal seperti dulu.

“Kedatangan pelancongan bantu kami untuk kembalikan perniagaan tetapi kebanyakannya bantu pengusaha hotel.

“Ejen pelancongan, mereka belum berpuas hati sebab kebanyakan pelancong tempatan tidak menggunakan perkhidmatan ejen,” jelasnya.

Beliau berkata kerajaan perlu segera membuka sempadan dengan negara luar dan mempromosikan pelancongan antara negara jiran bagi membantu keseluruhan industri itu kembali normal.

“Walaupun ada peningkatan pelancong bulan ini, tetapi perniagaan kita tidaklah akan sama seperti 2019 dan 2018.

“Kita perlukan masa yang lebih panjang untuk kembali normal.

“Saya harap untuk tahun depan kerajaan boleh kekalkan diskaun bil elektrik, cukai pintu, supaya dapat menggalakkan rakyat untuk melancong seterusnya bantu kami,” jelasnya.

Sejak 7 Disember, Putrajaya membenarkan semula aktiviti rentas negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Ahmad Hezri Adnan dilaporkan berkata, jumlah penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) juga semakin meningkat.

LIA mula mengendalikan lebih 20 penerbangan masuk sehari sejak Khamis lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dan trend tersebut akan berterusan sehsehingga akhir bulan ini.

“Kita juga dimaklumkan tempahan bilik penginapan diterima hotel sekitar pulau ini sangat positif, sekiranya perkembangan ini berterusan, sasaran 250,000 pelancong sepanjang bulan ini dijangka dapat dicapai,” kata Hezri.

Jeti Kuah yang sebelum ini sunyi juga kembali dipenuhi orang ramai namun pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) masih rendah, kata Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi (Tourism Langkawi) Ahmad Phisol Ishak.

“Kes positif Covid 19 hari demi hari tinggi hingga 1000 lebih. Jadi walaupun kita mahu industri pelancongan diteruskan tetapi kerajaan diminta bantu daripada segi pemantauan terutama di Jeti Kuah.

“Di jeti saya lihat ramai yang tidak ikut SOP, kita tiada kuasa untuk arahkan itu dan ini. Kita bimbang berlaku gelombang Covid 19 sekali lagi dan Langkawi kembali terjejas,” katanya.

Phisol turut menyuarkan kerajaan tetap perlu membantu pengusaha ejen pelancongan kerana kebanyakan pelancong kini, tidak menggunakan perkhidmatan mereka.

“Bukan ejen pelancongan tidak langsung membuat sesuatu, mereka juga promosikan produk dengan harga yang lebih murah tetapi orang kita lebih suka membuat tempahan secara atas talian.

“Jadi kerajaan perlu kaji satu kaedah yang efektif dalam membantu syarikat pelancongan daripada terus gulung tikar,” tambahnya. – 22 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen