Jangan sewakan lesen niaga kepada warga asing, kata Annuar


Elill Easwaran

Menteri Wilayah Persekutuan Anuar Musa berkata rakyat tempatan yang didapati sewakan lesen niaga kepada warga asing akan disenarai hitam dan lesen dibatalkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Disember, 2020.

TINDAKAN akan diambil terhadap rakyat Malaysia yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing, kata Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata peraturan sudah jelas mengatakan, mereka yang menyewakan lesen kepada warga asing akan disenarai hitam, dan lesen dibatalkan.

“Warga asing tidak dibenarkan memiliki lesen perniagaan kerana lesen itu hanya untuk warganegara Malaysia,” katanya semasa melawat Taman Segar di Cheras pagi ini

“Ada beberapa wakil meminta saya lebih fleksibel tetapi saya beritahu tiada kompromi mengenai hal ini,” tambahnya.

Beliau berkata tidak akan melayan sebarang rayuan mengenai warga asing yang ingin memiliki lesen perniagaan kerana ia tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

“Orang kita sudah menderita dengan keadaan pandemik Covid-19 sekarang. Melihat warga asing memiliki perniagaan akan menjadikan mereka semakin kecewa.

“Saya mahu mereka yang mempunyai maklumat mengenai hal ini melaporkan kepada saya atau pihak berkuasa,” katanya.

Mengenai perkara lain, Annuar berkata kementeriannya tegas tidak membenarkan warga asing bekerja di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang.

Beliau sekali lagi menggesa pemborong berhenti menghantar permohonan untuk mengambil pekerja asing.

Pada 23 Oktober, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis kepada pemborong yang hanya membenarkan pekerja tempatan mulai 1 Januari 2021.

Mereka yang tidak mematuhi peraturan akan berdepan tindakan kehilangan lesen perniagaan mereka. – 20 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen