Cawan haid jadi norma baharu


Hailey Chung Wee Kye

Cawan haid dan pad yang boleh digunakan berulang kali antara barangan dijual di kedai sisa sifar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Disember, 2020.

CAWAN haid atau “menstrual cup” kini popular dalam kalangan wanita Malaysia sebagai alternatif mesra alam sekitar berbanding pad pakai buang, kata pemilik kedai sisa sifar.

Grace Teong Gar Yan dari kedai Seedy Zero Waste Store berkata lebih ramai wanita membeli cawan diperbuat daripada silikon lembut yang fleksibel itu di mana ia boleh dikosongkan, dicuci dan digunakan kembali, selari dengan kesedaran tentang alam sekitar yang semakin meningkat.

Barangan itu antara yang paling laris di kedai itu. Purata satu cawan haid terjual setiap empat hari, sejak kedai kecil itu dibuka di Kota Kemuning, Shah Alam, setahun setengah lalu.

“Ia diterima baik dalam kalangan wanita berumur antara 23 dan 40 tahun, sama ada bujang atau berkahwin. Dan ia kini mula menarik minat pelajar di kampus.

“Baru-baru ini ada seorang pelanggan membelinya untuk anak perempuannya berusia 12 tahun sebagai persiapan untuknya didatangi haid nanti,” kata Teong kepada The Malaysian Insight.

Reputasi cawan itu tersebar menerusi mulut ke mulut dan usaha mendidik, katanya.

“Pelanggan baharu kebanyakannya dipengaruhi kawan. Motivasi utama ialah sebab alam sekitar, di mana pada saya itulah sebabnya ketika mula-mula saya menggunakannya dulu.

“Mulanya saya agak ragu-ragu, tetapi sebab tahu penggunaan satu pad saja yang ada bahan plastik, tempoh 500 tahun diperlukan untuk terurai, itu menyebabkan saya buat keputusan guna cawan.

“Cawan haid boleh bertahan lebih 10 tahun berbanding purata penggunaan 10,000-11,000 pad pakai buang sepanjang hidup,” kata Teong.

Tan Aisha, 29, pengguna baharu berkata beliau seronok mencuba teknik baharu dengan cawan.

“Saya sudah empat kali gunakan cawan. Suami saya yang memang pencinta alam sekitar sudah lama menggalakkan saya untuk menggunakan cawan haid.

“Saya terus menggunakannya kerana ia bagus. Rasa tenang sebab risiko untuk tumpah adalah rendah. Selepas pakai cawan itu, senggugut saya juga berkurangan.” – 21 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen