Syarikat bas dikenakan peraturan Covid-19 baharu angkut warga asing


Desmond Davidson

Peraturan utama dari senarai itu adalah syarikat bas wajib memastikan bahawa mana-mana pekerja asing yang membeli tiket untuk melakukan perjalanan di Sarawak mesti terlebih dahulu menunjukkan pasport yang sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2020.

SARAWAK telah mengumumkan peraturan baharu untuk syarikat bas serantau dan ekspres berkenaan warga asing.

Amaran hukuman berat kepada mereka yang melanggar peraturan setelah empat warga Indonesia yang positif Covid-19, berjaya melarikan diri daripada kuarantin di Sibu ke bandar Serian dengan jarak 100km menaiki bas.

Kesemua mereka menuju ke kawasan sempadan di Tebedu untuk kembali ke kampung halaman mereka di Entikong, Kalimantan.

Rakaman kamera litar tertutup di terminal bas Sibu menunjukkan mereka menaiki bas sekitar jam 1 pagi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata peraturan baharu tersebut berkuat kuasa hari ini.

Peraturan utama dari senarai itu adalah syarikat bas wajib memastikan bahawa mana-mana pekerja asing yang membeli tiket untuk melakukan perjalanan di Sarawak mesti terlebih dahulu menunjukkan pasport yang sah.

Pemandu bas juga dilarang mengambil orang asing tanpa dokumen yang sah di sepanjang laluan perjalanan bas.

Jawatankuasa pengurusan bencana turut berkata agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, polis, dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan pemeriksaan rawak ke atas bas serantau/ekspres bagi mengesan pekerja asing tanpa izin.

Jawatankuasa itu memberi amaran kepada syarikat bas mengenai “tindakan tegas” sekiranya bas milik mereka didapati mengangkut pekerja haram di seluruh negeri.

“Kami memerlukan kerjasama penuh dari semua perusahaan bas untuk mengambil tindakan segera berhubung peraturan ini,” kata jawatankuasa tersebut.

Keempat-empat warga Indonesia itu melarikan diri dari Sibu pada Khamis lalu setelah Jabatan Kesihatan Sibu diberitahu pengurus besar pusat pakar perubatan swasta bahawa keempat-empat mereka telah menjalani ujian swab didapati positif dengan virus tersebut.

Seorang wanita, yang sedang dikuarantin, kini disiasat polis setelah dipercayai  membantu mereka melarikan diri dengan menghantar mereka ke terminal bas.

Pesuruhjaya polis Sarawak Aidi Ismail berkata wanita itu mendakwa dia tidak mengenali warga asing tersebut dan hanya membantu mereka sampai ke terminal.

Aidi berkata dia akan disoal siasat lebih lanjut mengenai proses kuarantin yang dijalaninya. – Bernama, 19 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen