PENERBANGAN pesawat Jetstar dari Singapura ke Australia ditangguhkan disebabkan perbalahan melalui telefon bimbit, lapor The Straits Times.
Kejadian di Lapangan Terbang Changi malam tadi tercetus selepas satu pengumuman dalam pesawat dibuat yang meminta penumpang mematikan telefon mereka sebelum berlepas.
Seorang lelaki berusia 55 tahun yang dipercayai warga Filipina-Australia memberitahu penumpang di sebelahnya, seorang warga Australia berusia 47 tahun yang dia perlu mematikan telefonnya.
Bagaimanapun, perbalahan menjadi bertambah teruk, lebih-lebih lagi apabila seorang penumpang menyangka dia mendengar salah seorang lelaki terbabit menyebut perkatan “bom”.
Polis yang dipanggil untuk meredakan keadaan hari ini dilaporkan berkata mereka dimaklumkan mengenai kes gangguan awam di dalam pesawat di lapangan terbang itu pada jam 11.26 malam semalam.
Kedua-dua lelaki terbabit sedang membantu siasatan.
Jurucakap syarikat penerbangan, Robin Goh berkata penumpang pesawat Jetstar 3K161 yang terjejas akibat kejadian itu diberi baucer makanan manakala keluarga yang mempunyai anak kecil ditempatkan di ruang rehat.
Pesawat 3K161 yang sepatutnya berlepas pada jam 11.20 malam semalam dan mendarat di Darwin pada jam 5.20 hari ini, meninggalkan Singapura pada jam 7.15 pagi tadi. – 23 Disember, 2017.
Komen