PKPB di Selangor, KL, Sabah dilanjut sehingga 31 Disember


Hailey Chung Wee Kye

PUTRAJAYA melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur sehingga 31 Disember kecuali di Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang dikenakan PKP Pemulihan.

PKPB semasa akan tamat pada 20 Disember.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lanjutan PKPB disebabkan peningkatan kes Covid-19 di kawasan perindustrian di Selangor.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatkan yang signifikan dalam kes positif Covid-19 di 19 daerah perindustrian di Selangor iaitu Klang, Hulu Langat, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Subah selepas saringan pekerja kilang dan tapak pembinaan,” katanya pada taklimat harian mengenai sekatan pergerakan.

Beliau berkata jumlah kes Covid-19 dalam kalangan warganegara juga semakin meningkat.

“Terdapat beberapa kluster baru yang dikesan dalam hasil ujian saringan di beberapa tempat kerja.

“Oleh itu kerajaan bersetuju agar PKPB dilanjut sehingga 31 Disember,” katanya.

Semalam Selangor merekodkan jumlah terkumpul 22,931 kes positif dan Kuala Lumpur sebanyak 9,426 kes positif. 

Di Sabah sebanyak 33,823 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Dalam tempoh 14 hari (2 hingga 15 Disember), Kementerian Kesihatan mengesahkan jumlah kes harian Covid-19 di seluruh negeri (Sabah) masih tinggi dan kebanyakan kluster itu berasal dari kawasan perumahan melibatkan warganegara.

“Kementerian Kesihatan juga menjangkakan kes tersebut meningkat setelah saringan dilakukan terhadap pekerja asing bermula 16 Disember lalu,” katanya.

PKPB turut dilanjutkan di Mukim 12 (Barat Daya) dan Mukim 13 (Timur Laut) di Pulau Pinang, di Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta, Perak; Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai, Johor, Seremban dan Port Dickson, Negeri sembilan.

Beliau juga mengumumkan penamatan tempoh PKPB sehingga 20 Disember ini di daerah Kulim, Kedah; di Mukim Kubang Kerian dan Mukim Kusial, Kelantan; Mukim Changkat Jong, Perak; Kota Tinggi, Johor.

“PKPD di flat di Paya Terubong (Relau) di Mukim 13 (Timur Laut), Pulau Pinang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember.

“Masih ada blok yang belum mencapai 40% saringan dan memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan proses saringan,” katanya.

Kawasan lain yang turut dilanjutkan PKPD sehingga 31 Disember ialah di Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban di Mukim 13 (Timur Laut), Pulau Pinang: depot tahanan imigresen dan kuarters kakitangan di daerah Hilir Perak, Perak; Penjara dan Kuarters Seremban, Negeri Sembilan.

“PKPD di kawasan perumahan di Mukim Sg Seluang, Kedah berakhir pada 20 Disember,” katanya.

Penamatan PKPD pada 20 Disember pula dikenakan di asrama pekerja kilang Yamaha, Perak; Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah, Kg Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh di Kelantan.

“Kami akan melaksanakan PKPD di penjara dan kuaters penjara Kluang sehingga 31 Disember. Kementerian Kesihatan mengesahkan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan tahanan dan kakitangan di situ.

“Kawasan lain yang tidak disebutkan di Johor kekal dalam PKPB,” katanya. – 18 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen