Pemandu kes rempuhan di Melbourne didakwa 18 tuduhan cubaan membunuh 


Kereta SUV yang merempuh pejalan kaki dalam kejadian rempuhan di Melbourne Khamis lalu. – Gambar EPA, 23 Disember, 2017.

SEORANG pelarian Afghan yang dituduh merempuh pejalan kaki di Melbourne di dakwa dengan 18 tuduhan cubaan membunuh hari ini.

Saeed Noori, yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan masalah mental didakwa memandu keretanya di persimpangan pusat bandar pada Khamis lalu merempuh pelancong serta mereka yang membeli-belah di situ.

Walaupun polis mendakwa Noori menyebut tentang suara, mimpi dan “layanan buruk orang Islam” selepas ditangkap, motifnya tidak jelas.

Juga, sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas tidak ditemui.

Menurut penyiar ABC, Noori tidak memohon untuk diikat jamin ketika muncul di mahkamah hari ini. Dia menjadi emosi apabila melihat ibunya menangis pada sesi pendengaran.

Majistret memerintahkan dia melalui penilaian psikiatri dan perlu hadir ke mahkamah sekali lagi pada Rabu.

Dalam kejadian itu, 19 mangsa dibawa ke hospital dan tiga antara mereka dilaporkan kritikal.

Sembilan warga asing cedera, termasuk tiga warga Korea Selatan, yang mana dua daripadanya kritikal. Manakala mangsa yang lain adalah warga China, Itali, Venezuela, Ireland dan New Zealand.

Kejadian sama pernah berlaku di Melbourne pada Januari, yang meragut enam nyawa.  Pemandunya adalah penagih dadah yang didakwa menikam adiknya. – AFP, 23 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen