Rundingan kerusi PRU15 antara BN-PN, bukan Umno-PAS, kata Asyraf Wajdi


Kerjasama Umno dan BN dengan PN untuk PRU15 akan bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi, kata Asyraf Wajdi Dusuki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

UMNO tidak lagi akan berunding dengan PAS untuk pengagihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana perbincangan itu bakal dibuat antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Ini kerana parti Islam itu, yang membentuk Muafakat Nasional (MN) bersama Umno sejak September 2019, sekarang sudah menyertai PN, kata Ketua Pemuda Umno. 

“Kerjasama Umno dan BN dengan PN untuk PRU15 nanti banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi. 

“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan Umno dengan PAS tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Asyraf Wajdi membuat kenyataan itu selepas ketua-ketua parti dalam kerajaan PN malam tadi sepakat menubuhkan Majlis Presiden PN sebagai wadah untuk membincangkan dasar- dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara mereka.

Jawatankuasa Teknikal Kerjasama Umno-PAS juga bermesyuarat pada Rabu malam, dipengerusikan bersama naib presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dan naib presiden PAS Idris Ahmad. 

Kenyataan itu juga dikeluarkan ketika pemimpin kanan Umno dan PAS minggu ini mengeluarkan kenyataan menegaskan akan mengukuhkan kerjasama antara dua parti dalam MN, yang dibentuk atas asas penyatuan Melayu dan Islam.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin juga sehari sebelum itu menafikan PAS lebih condong kepada PN berbanding MN. Parti Islam itu sebaliknya kata beliau PAS mahu mengukuhkan hubungan kedua-duanya, bersama Umno dalam MN dan Bersatu dalam PN.

Asyraf mengeluarkan kenyataannya sebagai respons kepada dua soalan yang katanya ditanya ramai: apa perlunya penubuhan Majlis Presiden PN, dan apakah ia petunjuk Umno dan BN akan menyertai PN.

Jelas beliau, setakat ini PN hanya dianggotai oleh Bersatu, PAS, Star dan SAPP.

Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi BN pula sudah membuat keputusan hanya mendukung kerajaan PN, yang dibentuk atas persefahaman 12 parti, sehingga pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Umno dan BN tidak akan menyertai PN sebagai komponen.

Beliau juga menjelaskan penubuhan Majlis Presiden PN adalah cadangan Umno ketika kerajaan PN dibentuk pada Mac lalu, selepas percaturan politik yang menyingkirkan kerajaan PH di Putrajaya dan kemudian di beberapa negeri. Cadangan itu katanya “hanya dilaksanakan sekarang.” – 18 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen