Jangan perlekeh Pakatan Harapan


SAYA memandang serius cadangan gabungan baru dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Cadangan ini seperti memperlekehkan peranan Pakatan Harapan (PH) sebagai blok terbesar dan peneraju pakatan pembangkang.

Peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sebelum ini telah membuka ruang kepada para pengkhianat untuk menubuhkan kerajaan baru.

Malah peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi PH juga telah meletakkan gabungan ini berada dalam keadaan tidak menentu.

Kegagalan beliau sebagai peneraju PH adalah manifestasi kegagalan PH secara total dan sekaligus mencalar imej PH di mata rakyat.

Sebaliknya Anwar Ibrahim yang mengambil alih kepimpinan PH telah berjaya memulihkan kembali pandangan umum terhadap PH dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Tidak wajar beliau ditekan hanya kerana Belanjawan 2021 gagal ditolak sebaliknya pembangkang wajar berterima kasih kepada Anwar kerana telah berusaha sehabis baik.

Justeru itu, saya menyeru seluruh parti-parti pembangkang untuk bersatu di bawah PH dan kepimpinan Anwar.

Satu bentuk penyatuan kukuh perlu demi memantapkan usaha mengembalikan mandat, seterusnya memperkukuh kerjasama ke arah pilihan raya. – 18 Disember, 2020.

* Syed Badli Shah Syed Osman, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen