LEBIH 300 pelajar sekolah di Nigeria dibebaskan pada Khamis selepas diculik dalam serangan yang didakwa dilakukan Boko Haram, kata para pegawai, walaupun tidak jelas apakah masih ada yang ditahan.
Serangan pada Jumaat lalu di sebuah sekolah luar bandar di Kankara, negeri Katsina di barat laut Nigeria, pada mulanya didakwa dilakukan kumpulan penjenayah yang mengganas di wilayah itu selama bertahun-tahun.
Tetapi pada Selasa, Boko Haram, kumpulan di sebalik penculikan 276 pelajar sekolah di Chibok pada 2014, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Selepas enam hari, pegawai tempatan berkata pelajar terbabit sudah dibebaskan.
“Seramai 344 kini bersama agensi keselamatan dan akan dipindahkan ke Katsina malam ini,” kata gabenor negeri Aminu Bello Masari.
Dalam temu bual dengan saluran negara NTA, gabenor itu berkata: “Saya rasa kami sudah menemui sebahagian besar pelajar, ia bukan semuanya.”
Mereka yang dibebaskan, “akan diberi perhatian dan rawatan perubatan sebelum bertemu kembali dengan keluarga mereka,” tambahnya.
“Ini sangat melegakan seluruh negara & masyarakat antarabangsa,” kata Presiden Muhammadu Buhari di Twitter.
Namun, masih belum jelas, apakah semua pelajar sekolah yang diculik dibebaskan, ketika ketidakpastian berterusan mengenai jumlah yang diculik.
Menerusi video dikeluarkan oleh Boko Haram pada Khamis, seorang remaja yang kecewa berkata beliau adalah antara 520 pelajar yang diculik.
“Tiada siapa dapat memberikan jumlah pelajar dengan tepat,” kata sumber keselamatan kepada AFP pada Khamis, dengan berkara semua pelajar ditinggalkan di hutan selepas berunding dengan kerajaaan.
“Mereka sedang dikumpulkan di bandar Tsafe di negeri Zamfara dan Yankara, berdekatan negeri Katsina.”
“Jumlah sebenar pelajar yang dibebaskan hanya akan diketahui selepas dikira apabila mereka tiba (di ibu negeri) Katsina. Sebarang angka yang diberikan hanyalah tekaan,” kata sumber yang sama. – AFP, 18 Disember, 2020.
Komen