Jalan Melayu: Salam buat Tok Mat Hasan


Hasmi Hashim

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata negara memerlukan 'idea dan kecerdikan baru' untuk menjayakan Malaysia yang maju. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

APAKAH Melayu lemah? Tidak! Apakah Melayu kuat? Juga jawapannya… tidak!

Tulisan ini merupakan sebuah salam sepotong pandangan kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Beliau bertanya — mungkin sekaligus mencari pencerahan — bagaimanakah bangsa Melayu boleh jadi lebih baik dan maju?

Beliau mahukan apa yang disebut sebagai “idea dan kecerdikan baru” untuk menjayakan Malaysia yang maju.

Saya mungkin tidak punya apa yang beliau lontarkan sebagai “kecerdikan baru”.

Kalau pun saya pernah tuliskan berbaki-kali pandangan selingkar perihal politik Melayu, apa yang saya percaya ialah “kecerdikan tradisi”; dan bukan “baru” seperti yang cuba dicari Tok Mat.

Sayang sedikit, perkataan “tradisi” selalu dikaitkan dengan masa lampau, lapuk, mundur dan sudah tidak cocok dengan zaman.

Perkataan tradisi selalu disalut dengan makna yang buruk dan gelap. Maka selagi perkataan “tradisi” tidak dimurnikan, di samping perkataan “baru” selalu dilihat secara gopoh dan sembrono, maka selamanya kita akan menjadi salah kaprah.

Sedangkan maksud tradisi bukan begitu. Tradisi — meski selalu dilihat berada di masa lampau — tetapi keberadaannya tidak berwaktu (timeless).

Ia turun-temurun. Ia berada dalam semalam, hari ini dan esok. Dan kekal dengan tali-temali sanad.

Malangnya sejak tercipta jargon “Melayu baru” oleh mantan menteri besar Selangor, Muhammad Muhd Taib, tradisi sering dilihat tidak berguna.

Masalah ini adalah sebahagian daripada persoalan Mahathirisme yang membuka khayalan tentang masa depan dengan angkuh, tetapi melihat masa lalu dengan sambil lewa. Mantan menteri besar Selangor tadi adalah produk Mahathirisme.

Saya bukan orang Umno. Mungkin saya hanya bekas ahli Umno, yang pada usia 18 tahun, abah mengisikan borang Umno untuk saya.

Kalau hendak dikatakan keluarga kami berasal dari keluarga Umno, pun tidak tepat kerana tidak semua ahli keluarga saya, ahli Umno.

Hanya saya dilahirkan dan membesar di Batu Pahat. Justeru, sejarah dan semangat asal Umno adalah sebahagian daripada Batu Pahat yang sangat saya kenal.

Pesan masa lalu

Umno bagi orang Batu Pahat bukan hanya sebuah parti politik, tetapi juga sebuah “peringatan”. Umno adalah sebuah pesan yang datang dari masa lalu.

Antara pesan masa lalu yang sangat penting ialah bangsa Melayu tidak akan menjadi ulung sekiranya kita berperangai dengan perangai bangsa yang kerdil.

Antara sifat dan perangai bangsa yang ulung ialah terbuka, siap bersaing, yakin dengan ilmu dan agama, berbudaya tinggi, serta tidak dapat tidak mestilah berkeadilan.

Pada era Dr Mahathir Mohamad, semua ciri itu telah dileburkan dan tertuang di dalam satu bekas yang bernama perkauman.

Umno yang demokratik telah menjadi parti keras perkauman — dan paling keras sepanjang sejarahnya.

Umno jadi begitu, juga bukan sepenuhnya salah Dr Mahathir sendirian. Sejak awal pun, Umno menyediakan asas agar perkauman garis keras bisa tumbuh.

Di sinilah, penggunaan kata “Melayu” di dalam nama Umno perlu dilihat dengan cermat. Barang diingat, di awal penubuhan Umno, kata “Melayu” bukan sahaja merujuk bangsa; tetapi juga merujuk nama sebuah tanah air, yakni Tanah Melayu.

Kita mahu memerdekakan bangsa Melayu, dengan memerdekakan Tanah Melayu. Kait-mengait ini sangat penting.

Pengertian tersebut menjadi kabur apabila Tanah Melayu bukan lagi bernama Tanah Melayu. Negeri kita sudah bernama Malaysia.

Hari ini, kata “Melayu” hanya dimaksudkan atau merujuk kepada orang Melayu sahaja.

Bukan lagi nama sebuah negara yang merdeka. Seraya itulah, semangat Melayu yang sepatutnya menjadi semangat bernegara telah berubah menjadi semangat perkauman bagi satu suku bangsa semata.

Umno sekian lama terperangkap dalam perubahan itu. Dari sebuah parti yang nasionalis dan berkebangsaan, menjadi parti yang perkauman.

Mungkin dengan alasan yang sama, saya tidak pernah menyalahkan Umno sebagai sebuah parti.

Saya lebih senang menyalahkan pemimpin Umno yang lemah pemikirannya, cuai dan hanya mahu menggunakan Umno untuk hidup kaya-raya di atas muka dunia.

Bagi saya, Umno sebagai sebuah parti ibarat kereta Proton Saga 1.3 kuasa kuda.

Sekiranya kita masih mengharapkan kereta berkuasa 1.3 mampu bersaing atau menang perlumbaan, sebenarnya yang salah berharap adalah kita. Bukan salah kereta.

Sudah lama sebenarnya orang Melayu memerlukan kereta dengan kuasa kuda yang lebih tinggi. Juga dengan teknologi yang terkini.

Pada tahun-tahun awal perjuangan Umno, Onn Jaafar telah membayangkan mengenai engin masa depan bagi Umno.

Bagi Onn, Umno perlu segera menjadi “parti kebangsaan” yang sebenar — bukan sahaja sebagai parti satu kaum — sepertimana yang selalu didakyahkan oleh mereka yang merampas semangat Umno daripada jiwa Onn.

Mungkin gagasan Onn itu seperti idea kereta eletrik yang terlalu kehadapan melampaui zaman. Akan tetapi, hari ini era kereta eletrik sudah tiba.

Sesiapa yang lambat berubah, mereka akan ketinggalan zaman. Biar pun kereta 1.3 dilakukan overhaul, ia tetap kereta 1.3 kuasa kuda.

Wadah baharu orang Melayu

Demikianlah parti berbilang kaum — yang dapat mencerminkan realiti demografi dan semangat kebangsaan Malaysia yang asal — sangat mustahak mengambil peranannya segera.

Maknanya parti berbilang kaum itu tetap dengan teras Melayu kerana Melayu merupakan kaum majoriti dan budaya asal di negara ini.

Parti berbilang kaum dengan tidak menjadikan Melayu sebagai teras politiknya usah dirisaukan, parti itu pasti akan gagal. Ia bukan tandingan.

Atas kesedaran inilah, saya menyertai Keadilan 20 tahun lalu. Saya tidak mahu menunggu sehingga Umno tidak berfungsi atau “rosak di tepi jalan” baru ingin menyediakan ‘kenderaan’ atau wadah baharu kepada orang Melayu.

Saya lebih-lebih lagi tidak boleh menunggu Umno diselamatkan kerana yang memimpin Umno ketika itu memang tidak menyedari semua persoalan yang disebutkan di atas.

Sekali lagi ditekankan, rata-rata yang menyertai Umno tidak lebih hanya untuk jawatan dan wang ringgit. Bukan untuk bangsa dan tanah air. Bukan untuk anak-cucu di hari muka.

Selebihnya elok dibualkan kalau ditakdirkan kita berada di dalam sebuah perjalanan, dengan kereta yang sama.

Itu pun kalau Tok Mat atau pemimpin seperti beliau ikhlas untuk sama-sama mencari jawapan dan kebaikan bagi sebuah bangsa. – 18 Disember, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen