Siasat skandal tanah Felda hingga ke akar umbi, kata Ismail Sabri


Ahli Majlis Tertinggi Umno Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan itu bukan hanya melibatkan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) tetapi juga perlu meliputi syarikat pemaju tanah yang dilantik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2017.

SIASATAN menyeluruh sehingga ke akar umbi perlu dilakukan terhadap semua pihak yang berkaitan dalam transaksi pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata siasatan itu bukan hanya melibatkan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) tetapi juga perlu meliputi syarikat pemaju tanah yang dilantik. 

“Saya percaya semua pihak perlu dipertanggungjawabkan. Semua rakyat tidak kira sama ada golongan peneroka atau mereka yang tidak berkaitan dengan Felda terperanjat dengan isu yang dibangkitkan ini.

“Siasatan perlu dilakukan hingga ke peringkat akar umbi kerana jumlah yang terlibat amat besar dan tanah di Jalan Semarak juga amat berharga dan sesekali tidak boleh dilepaskan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Raja Sehari Mega Parlimen Bera 2017 di Kompleks Rakan Muda Bera di Bera, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian semasa mengulas laporan bahawa  Felda berisiko hilang hak ke atas tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta di Jalan Semarak menerusi transaksi pindah milik yang mencurigakan  sejak 2015.

Siasatan perlu dilakukan hingga ke peringkat akar umbi kerana jumlah yang terlibat amat besar dan tanah di Jalan Semarak juga amat berharga dan sesekali tidak boleh dilepaskan, kata Ismail Sabri.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2017.

Beliau juga berpandangan Felda juga harus mengambil tindakan undang-undang jenayah, jika terdapat unsur jenayah seperti penipuan dalam penukaran hak milik itu, dan bukan hanya bergantung kepada tindakan sivil. 

Siasatan juga perlu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera, meminta rakyat untuk memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu dan tidak terus membuat kesimpulan dengan menyalahkan atau mengaitkan mana-mana pihak. 

“Kita tidak dapat elak akan ada pihak yang mahu mempolitikkan isu ini… tapi sewajarnya ia diserahkan kepada pihak berkuasa dan SPRM. Jangan kita ganggu siasatan mereka. 

“Begitu juga kepada Felda… beri peluang untuk mereka lakukan tindakan undang-undang. Kurangkan  elemen politik dalam isu ini sebab kita tidak tahu apa yang sebenarnya  berlaku,” katanya. – Bernama, 23 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen