Polis tahan lelaki disyaki cabul ahli perniagaan lelaki


POLIS menahan seorang lelaki di Machang semalam, beberapa jam selepas menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan lelaki yang mendakwa dia dicabul suspek semasa mereka berada di sebuah hotel di Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi berkata, polis menerima laporan daripada ahli perniagaan berumur 30 tahun itu pagi semalam, dan menurut laporan lelaki itu mendakwa yang dia berkenalan dengan suspek yang berusia 32 tahun di sebuah pasar raya pada 14 Disember.

Beliau berkata pada malam berikutnya lelaki itu keluar bersama suspek yang panggilnya ‘Ustaz Syamsul’ pada pukul 11 malam dengan menaiki kereta suspek, dan pada 16 Disember kira-kira pukul 1.15 pagi (semalam) suspek telah menghantar ahli perniagaan itu ke sebuah bilik sebuah hotel dekat Jalan PCB, Kota Bharu.

Menurutnya semasa berada di dalam bilik hotel itu, lelaki itu mendakwa dia dicabul suspek, yang bertugas di sebuah madrasah di Machang.

“Suspek kini direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama, 17 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen