ANGKA kematian akibat ribut tropika yang melanda selatan Filipina meningkat kepada 74 orang, menurut pegawai pada Sabtu, yang bimbang angka berkenaan akan terus meningkat berikutan masih ramai yag dilaporkan hilang.
Ribut tropika Tembin melanda Mindanao, pulau kedua terbesar di negara kepulauan itu pada Jumaat, yang menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang turut melenyapkan beberapa perkampungan di kawasan pedalaman.
Filipina dilanda lebih 20 ribut besar setiap tahun secara puratanya, kebanyakannya membawa kematian. Namun Mindanao yang menjadi tempat tinggal 20 juta orang itu jarang dilanda ribut.
Air mula membanjiri pulau itu pada Sabtu, kata pihak berkuasa dan menambah lebih 12,000 daripada 20 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Polis melaporkan 19 kematian di perkampungan pergunungan Dalama berhampiran pekan Tubod dan 26 lagi kampung sekitar dan bandar di wilayah Lanao del Porte, yang menjadi kawasan paling teruk terjejas.
“Paras sungai meningkat dan banyak rumah dihanyutkan air. Perkampungan itu lenyap sama sekali, kata pegawai polis Tubod Gerry Parami kepada AFP.
Polis, tentera dan sukarelawan menggunakan penyodok untuk menggali lumpur dan runtuhan bagi mencari mayat mangsa di perkampungan pertanian yang dihuni lebih 2,000 orang, tambah Parami. – AFP, 23 Disember, 2017.
Komen