Indonesia naikkan tarif eksport minyak sawit mentah  


Persatuan Minyak Sawit Indonesia berkata eksport MSM tahunan akan menurun sebanyak 18 peratus tahun ini kepada 24.92 juta tan metrik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2020.

INDONESIA, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, akan menaikkan tarif eksport minyak sawit mentah (MSM) untuk menyokong program wajib pemerintah, bahan bakar-bio. 

Sehubungan itu, negara ini mengenakan cukai eksport progresif dari AS$55 hingga AS$255 bagi setiap tan metrik MSM bergantung pada harga rujukan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Timbalan Menteri Koordinasi Ekonomi Indonesia untuk Makanan dan Pertanian Musdhalifah Machmud berkata, dasar tersebut akan disemak setiap bulan agar bersesuaian dengan keadaan ekonomi.

Agensi penarafan kredit Fitch Ratings pada Isnin mengatakan kenaikan cukai eksport akan meningkatkan penggunaan biodiesel tahun depan bagi mengimbangi beban subsidi.

Menurut Persatuan Minyak Sawit Indonesia, eksport MSM tahunan akan menurun sebanyak 18 peratus tahun ini kepada 24.92 juta tan metrik, kebanyakannya disebabkan oleh kemerosotan permintaan dari Kesatuan Eropah, China dan India. – Bernama, 17 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen