2 warga Myanmar maut dalam kemalangan 


DUA lelaki warga Myanmar maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan motosikal roda tiga di Jalan Kinabalu menghala ke Selayang tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata kedua-dua mangsa berusia 20 dan 27 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, kemalangan berlaku apabila motosikal roda tiga yang dinaiki oleh mangsa sedang melalui selekoh di Jalan Kinabalu bergerak di kiri jalan di atas garisan chevron.

“Laluan tersebut didapati semakin mengecil menyebabkan roda di sebelah kiri motosikal mangsa melanggar tembok batu lalu terjatuh menyebabkan kedua-dua mangsa digilis oleh treler tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata bagaimanapun, pemandu treler lelaki berusia 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Katanya mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – Bernama, 16 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen