Selamatkan generasi tersisih, tubuh Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan


SEWAKTU perbahasan usul perbekalan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Belanjawan 2021 semalam 15 Disember 2020, saya telah membawakan isu berkaitan ‘Lost Generation’ atau generasi tersisih di kalangan murid-murid sekolah akibat daripada pandemik Covid19.

Dampak pandemik global ini yang bertingkat-tingat ini akan memberikan kesan yang amat serius kepada golongan generasi tersisih seperti dilaporkan WHO, Unesco dan World Bank.

Jika kita kecilkan skop lost generation ini dalam konteks Malaysia, kita boleh anggarkan sekurang-kurangnya hampir 1 juta murid bakal terkesan dan tersisih dari progres pendidikan semasa khususnya murid pra-sekolah, murid tahun 1 dan 2.

Anak-anak di pra-sekolah tahun 2020 akan naik ke darjah satu, manakala anak-anak darjah 1 tahun 2020 akan naik ke darjah 2 pada tahun 2021. Anak-anak ini sedang bergelut dengan beberapa kemahiran asas seperti membaca, bertutur dan menulis.

Ketiadaan PdP secara normal selama hampir setahun hakikatnya telah membantutkan proses pendidikan ini. Majoriti dari mereka masih ramai  yang tidak mampu membaca, menulis dan mengira sepertimana yang sepatutnya pada tahap umur mereka.

Melalui jawapan Menteri semalam, saya dapati tidak terlihat keseriusan KPM untuk berhadapan dengan isu ini secara kolektif dan terarah.

Saya telah bertanyakan apakah KPM mempersiapkan master plan untuk anak-anak ini apabila memasuki darjah 1 pada tahun 2021 nanti? Tiada jawapan yang diberikan.

Justeru di dewan yang mulia semalam saya telah menggesa agar YB Menteri Kanan Pendidikan berinteraksi secara pro-aktif dengan semua pemegang taruh yang pakar, prihatin dan peka terhadap isu pendidikan, kerana saya yakin di sana ada ramai pihak yang mahu menghulurkan tangan dan menyelesaikan kemelut ini sama-sama.

Saya mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang akan dianggotai oleh para pemegang taruh, terutamanya wakil dari NUTP, wakil dari Unicef, wakil dari KKM, pakar-pakar Pendidikan, wakil-wakil NGO Pendidikan, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, terutamanya mereka yang pernah bergelumang dalam sektor pendidikan untuk menangani masalah pendidikan pasca-pandemik yang amat serius ini.

Saya fikir satu resolusi yang tuntas boleh dihasilkan andai YB Menteri bersedia membuka ruang kerjasama merentasi parti, ideologi dan juga kepakaran, kerana sehingga hari ini, walaupun sudah berkali-kali ahli-ahli parlimen mahupun rakyat di luar sana bersuara, masih tidak ada satu pun jawapan yang jelas dan serius oleh KPM untuk menyelamatkan Lost Generation ini.

Ingin saya tekankan di sini, isu ini tidak menguntungkan mana-mana pihak melainkan anak-anak kita. Ia juga bukan isu politik. Isu ini ialah isu pendidikan dan masa depan lebih 1 juta anak-anak kita.

Tidak wajar isu ini terperangkap dalam gelanggang perbezaan politik. Marilah sama-sama kita melangkah ke depan, menanggalkan jubah perbezaan dan sama-sama meletakkan pendidikan sebagai keutamaan tertinggi.

Pendidikan adalah untuk semua, tanggungjawab  bersama! – 16 Disember, 2020.

* Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Simpang Renggam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen