
ADAKAH Ahli Parlimen Pekan Najib Razak dan keluarganya akan dikecualikan daripada membayar tunggakan cukai atas sebab politik, soal pembangkang pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Persoalan itu dibangkitkan oleh RSN Rayer (Jelutong-Pakatan Harapan) semasa perbahasan rang undang-undang (pindaan) Kementerian Kewangan hari ini.
“Kalau beliau seorang Yang Berhormat, kenapa hutang-hutang ini tidak dibayar? Adakah pindaan-pindaan ini yang dicadangkan sekarang akan memberi kelebihan kepada Pekan?
“Kenapa dicadangkan sekarang, adakah berniat untuk memberi kelebihan kepada beliau untuk menguruskan kes di mahkamah?” soal Rayer.
Beliau turut bertanya adakah pindaan yang dibuat sekarang akan memberi kelebihan kepada beberapa ahli Parlimen lain yang menghadapi pertuduhan mahkamah.
Selain itu, Rayer juga berkata pindaan dibimbangi akan lebih menekan rakyat yang kini sudah pun terkesan akibat Covid-19.
“Saya bersuara untuk rakyat biasa, rakyat diluar sana menghadapi banyak masalah - hilang pekerjaan, hilang punca pendapatan, perniagaan tutup, merosot dan sebagainya.
“Kerisauan yang bermain dalam fikiran rakyat adalah adakah pindaan-pindaan oleh Kementerian Kewangan ini akan terus menekan mereka.”
Rang Undang-Undang Kewangan 2020 bertujuan untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967; Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976; Akta Setem 1949; Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967; Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990; Akta Kewangan 2012; dan Akta Kewangan 2018. – 16 Disember, 2020.
Komen