SINDIKET penipuan untuk mengutip dana kini menggunakan media sosial dan anak muda sebagai “sukarelawan” bagi mengaburi mata orang ramai, atas alasan untuk membantu golongan memerlukan.
Seorang pekerja sosial berkata sukarelawan palsu ini akan mensasarkan rumah kebajikan dan rumah perlindungan dengan menawarkan bantuan untuk mengumpul dana.
Manakala seorang ketua biro aduan sebuah parti politik pula berkata mangsa penipuan mengadu gambar mereka digunakan dalam kempen mengutip dana di Facebook.
Pekerja sosial Wendy Yap memberitahu The Malaysian Insight taktik sedemikian semakin berleluasa sejak pandemik Covid-19 melanda.
“Sudah ada sebelum ini lagi, tetapi semakin menjadi-jadi sejak pandemik.
“Penipu ambil sebahagian besar yang dikumpul. Kebanyakan mereka ini orang muda dan pandu kereta mewah,” kata Yap yang sudah 30 tahun terlibat dalam khidmat masyarakat.
“Mereka mampu kumpul sehingga RM1 juta, tetapi rumah kebajikan hanya terima sekitar RM100,000. Akhirnya, nama rumah kebajikan yang tercemar.”
Yap adalah pengasas Kajang Caring Home yang menempatkan golongan memerlukan termasuk warga tua dan termasuk ibu tunggal.
Menurutnya, kumpulan penipu ini akan datang sendiri ke rumah kebajikan atau membuat panggilan telefon.
“Saya akan tolak mana-mana tawaran bantuan yang meletakkan syarat supaya mereka juga diberi bahagian. Pengumpul dana yang sebenar akan minta orang ramai salur bantuan terus ke akaun rumah kebajikan, bukan masuk akaun lain.”
Satu lagi cara yang digunakan oleh sindiket penipuan ini ialah menawarkan khidmat katering makanan dengan harga tertentu, tetapi kualiti makanan yang tidak sepadan.
“Kualiti makanan sangat teruk. Mereka ini mengambil kesempatan atas nama kebajikan,” kata Yap.
Ketua Biro Aduan Pemuda DAP Darren Lee pada bulan lepas mendedahkan sindiket penipuan menggunakan gambar dan maklumat peribadi orang ramai dari Facebook, atas alasan untuk mengumpul dana.
Dalam satu sidang media, Lee berkata salah seorang mangsa mendapat tahu gambarnya digunakan tanpa kebenaran di Facebook. Manakala seorang ibu yang mempunyai anak yang sakit turut terpedaya, langsung tidak menerima wang kutipan yang dijanjikan.
Menurut Lee, walaupun laporan polis telah dibuat, kes biasanya digugurkan kerana tidak cukup bukti. – 18 Disember, 2020.
Komen