.jpg)
SAYA mewakili Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan seluruh warga koperasi dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia semalam.
Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan “Pak Ungku” merupakan pengasas dan mantan yang dipertua Angkasa bermula 12 Mei, 1971 sehingga 7 Januari, 2009.
Allahyarham Pak Ungku merupakan negarawan yang amat disegani dan menyumbang jasa dan bakti dalam bidang pendidikan dan ekonomi terutamanya dalam memperkasa ekonomi institusi agama Islam.
Beliau merupakan tokoh yang mengasaskan Angkasa menerusi Kongres Kerjasama Se-Malaysia pada 1966 dan Kongres Kerjasama Se-Malaysia Kedua pada 1971.
Allahyarham juga mencetuskan idea menubuhkan koperasi sekolah pada 1968 untuk membudayakan aktiviti keusahawanan dalam kalangan generasi muda sehingga koperasi sekolah menjadi model perniagaan yang menjadi rujukan gerakan koperasi antarabangsa.
Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara khususnya kepada warga koperasi atas sumbangan berterusan beliau menabur tenaga dan bakti dalam menanam benih semangat berkoperasi dikalangan rakyat serta memacu institusi ini ke arah kecemerlangan diperingkat nasional mahupun global.
Allahyarham memainkan peranan amat besar memperkasa Angkasa sehingga diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan apeks gerakan koperasi negara untuk menyatu dan mewakili gerakan koperasi diperingkat nasional dan antarabangsa pada 23 Mei, 1996.
Jasa dan bakti allahyarham Pak Ungku kepada pembangunan gerakan koperasi negara dan dunia akademik serta pemerkasaan sosioekonomi tidak ternilai harganya.
Bagi pihak Angkasa, setinggi-tinggi penghormatan dan terima kasih atas jasa dan sumbangan Allahyarham yang memajukan gerakan koperasi untuk terus kekal maju merentasi zaman.
Legasi allahyarham akan kekal disemat dalam jiwa 14, 625 koperasi dengan keanggotaan enam juta ahli. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. – 16 Disember, 2020.
*Abdul Fattah Abdullah ialah presiden Angkasa.
Komen