Sultan Selangor zahir takziah kepada keluarga Allahyarham Ungku Aziz 


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sentiasa mengikuti rapat pandangan serta buah fikiran Allahyarham Ungku Abdul Aziz semasa hayatnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2020.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh akademik, Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Istana Selangor dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini menyatakan selain mengenali Allahyarham Ungku Abdul Aziz sebagai tokoh pendidikan dan pembangunan ekonomi Melayu dan umat Islam, baginda turut kagum dengan pemikiran, aspirasi serta ideanya yang merentas zaman.

Tambah kenyataan itu, baginda secara peribadi juga mengenali dan pernah bertemu Allahyarham yang turut mempunyai kediaman berhampiran Istana Pantai Bahagia di Morib, Banting serta anak Allahyarham iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Baginda sentiasa mengikuti rapat pandangan serta buah fikiran Allahyarham semasa hayatnya dalam pelbagai isu yang dekat dengan rakyat jelata dan seharusnya diteladani.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut hantaran itu.

Pada masa sama, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ungku Abdul Aziz dan menyifatkan beliau sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada dunia pendidikan tanah air.

“Allahyarham juga antara sosok yang terlibat dengan penubuhan Tabung Haji dalam memudahkan urusan rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji di Baitullah.

“Negara kehilangan seorang tokoh yang telah banyak menabur bakti. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia kira-kira 4 petang tadi. – Bernama, 15 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen