SELEPAS sembilan hari perbahasan, Belanjawan 2021 akan melalui bacaan ketiga – undian terakhir – di Dewan Rakyat hari ini.
Diluluskan di peringkat dasar pada 26 November, rang undang-undang hanya berdepan satu perubahan sejak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengemukakannya pada 6 November.
Perubahan tunggal itu melibatkan separuh belanjawan awal RM85.5 juta kepada RM40.5 juta untuk unit propaganda kontroversi Jasa atau Jabatan Hal Ehwal Khas yang kini diganti namanya kepada J-Kom.
Walaupun ada dua lagi perubahan pada rang undang-undang yang dibentangkan pada 6 November, kedua-duanya adalah isu polisi dan tidak melibatkan penyesuaian belanjawan.
Satu ialah membenarkan lebih ramai orang mengeluarkan akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka (kerana kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan) dan menaikkan had pengeluaran kepada RM10,000. Satu lagi ialah membenarkan moratorium pinjaman automatic untuk peminjam kumpulan B40 dan perniagaan kecil walaupun dengan syarat kecil.
Ketiga-tiga perubahan itu dilakukan setelah menerima tekanan daripada pembangkang dan sebilangan kecil ahli Parlimen Umno yang diketuai oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Tuntutan lain yang diabaikan termasuk bantuan kesejahteraan sosial kepada RM1,000 dan memotong peruntukan untuk kumpulan masyarakat sivil yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR Zuraida Kamaruddin dan Mohamed Azmin Ali yang kini bergabung dengan Bersatu.
Pada akhir prosiding semalam Dewan Rakyat meluluskan peruntukan untuk 25 daripada 27 kementerian.
Walaupun dua kementerian – Kesihatan serta Komunikasi dan Multimedia – dikritik kerana amalan perakaunan yang tidak normal dan penubuhan semula Jasa, tidak ada belanjawan kementerian yang tidak akan diluluskan.
Malah kenaikan belanjawan sebanyak RM482 juta Jabatan Perdana Menteri dipersetujui dengan mudah – 105 undian berbanding 95 – semasa undi belah bahagian.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya terdapat penelitian yang lebih terperinci untuk belanjawan kementerian pada perbahasan peringkat jawatankuasa. Penelitian mendalam dilakukan kerana dua sebab utama.
Yang pertama adalah reaksi masyarakat terhadap pembangkang selepas ketua Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mengarahkan blok itu untuk tidak undi belah bahagi di peringkat dasar pada 26 November.
Sebab kedua untuk meneliti peruntukan kementerian yang lebih besar kali ini adalah kerana ketidakstabilan Perikatan Nasional dalam kalangan ahli Parlimennya – tanda kemungkinan pemberontakan dalam kalangan mereka.
Najib Razak berkata Barisan Nasional mungkin tidak menyokong belanjawan walaupun berada dalam kerajaan.
Di samping itu Zahid juga mahu kerajaan membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat untuk membuktikan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) stabil,
Sekiranya tiada undi percaya, penolakan Belanjawan 2021 akan memberikan bayangan yang lebih besar lagi terhadap sokongan Muhyiddin di Parlimen.
Ini belum berlaku dengan PN berjaya dalam sembilan belanjawan kementerian dengan undi belah bahagian sementara 16 selebihnya diluluskan dengan undian suara.
Undi belah bahagian akan mendedahkan bagaimana setiap ahli Parimen memilih sepertimana undi suara dan PH mempunyai peluang untuk menolak peruntukan belanjawan bagi setiap kementerian dalam undian belah bahagian.
Bagaimanapun pembangkang tidak sebulat suara apabila kesemua lapan ahli Parlimen Parti Warisan Sabah tidak hadir ketika undian belah bahagian diadakan.
Alasan itu kononnya untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan pemimpin PH Anwar dan “menghantar mesej” bahawa kepimpinan baharu diperlukan agar pembangkang terus maju.
Dari undian belanjawan Jabatan Perdana Menteri pada 30 November sehingga Kementerian Wilayah Persekutuan semalam, kira-kira 15 ahli Parlimen yang tidak hadir untuk mengundi.
Hari ini Belanjawaan 2021 akan melalui bacaan ketiga setelah perbahasan mengenai peruntukan untuk dua kementerian terakhir – Pendidikan dan Pengajian Tinggi selesai.
Di atas kertas, PN mempunyai 112 ahli Parlimen sementara pembangkang mempunyai 108, selepas kematian ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong dan Gerik, Hasbullah Osman.
Tetapi setelah apa yang berlaku kepada bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu seminggu lalu, apa sahaja boleh berlaku hari ini.
Saingan lama Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah mengatakan bahawa mereka bersedia untuk bersatu dan memudahkan kerajaan perpaduan baharu sekiranya kerajaan PN gagal meluluskan undia Belanjawan 2021 hari ini.
Tengku Razaleigh Hamzan secara terang-terangan menyatakan tidak akan menyokong belanjawan walaupun partinya adalah sebahagian daripada kerajaan, sokongan penuh daripada 112 ahli Parlimen daripada pihak PN bukanlah jaminan.
Dalam konvensyen Westminster, penolakan belanjawan sama seperti hilangnya kepercayaan terhadap kerajaan hari ini.
Walaupun sebilangan pemimpin kerajaan menafikan perkara ini, di mata orang ramai kerajaan akan hilang kepercayaan ahli Parlimennya sendiri. – 15 Disember, 2020.
Komen