Dr M: Saya pembangkang tetapi tidak duduk bawah Anwar


Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad berkata Anwar Ibrahim tiada hak untuk memberitahunya atau ahli Parlimen pembangkang yang lain mengenai apa yang patut dibuat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Disember, 2020.

DR Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak terikat pada Anwar Ibrahim atau menerima arahan daripada ketua pembangkang itu walaupun mengakui beliau masih bersama dengan blok pembangkang.

Ahli Parlimen Langkawi berkata Anwar tiada hak untuk memberitahunya atau ahli Parlimen pembangkang yang lain mengenai apa yang patut dibuat.

“Ketua pembangkang tidak mengawal anggota pembangkang. Kita bukan duduk di bawah dia. Dia dinamakan sebagai ketua pembangkang tetapi tidak mengawal kita. 

“Kami boleh buat apa yang kami rasa wajar (di Parlimen).

“Tidak perlu untuk ikrarkan sokongan, kesetiaan atau apa saja kepada ketua pembangkang,” kata Dr Mahathir dalam satu sidang media di pejabatnya di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur.

Sidang media disertai Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Ditanya sekiranya Anwar yang juga pengerusi PH mempunyai cukup sokongan berdasarkan akuan berkanun (SD) wakil rakyat, Dr Mahathir berkata ia tidak mustahak.

“Apa yang penting ialah apa yang berlaku di Parlimen… sama ada wakil rakyat mahu melakukan sesuatu untuk negara atau tidak,” katanya.

Dr Mahathir sebelum itu menyeru anggota Dewan Rakyat untuk mengutamakan kepentingan negara dan bukan kepentingan peribadi apabila mereka dijadual mengundi Belanjawan 2021 pada bacaan ketiga esok.

Dr Mahathir yang juga pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata beliau masih bersama pembangkang kerana tidak boleh memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun katanya tugas pembangkang adalah mempertahankan hak rakyat.

“Saya bersama pembangkang, ya, sebab saya tidak boleh bersama kerajaan. Bukan jadi pembangkang itu yang mustahak… (yang mustahak) dedikasi saya kepada negara.

“Pembangkang hanya akan berguna apabila boleh buat sesuatu untuk negara,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, beliau mempertahankan ikrarnya semasa menyertai Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat Najib Razak untuk digantikan dengan sebuah kerajaan yang sebenar untuk negara.

“Tetapi sekarang kerajaan kleptokrat sudah menyingkirkan kerajaan yang dipilih (oleh rakyat),” tambahnya.

Dr Mahathir yang mengasaskan Bersatu pada 2016 kemudian menyertai PH sebelum Muhyiddin yang juga presiden Bersatu membawa parti keluar dari gabungan itu pada Februari lalu.

Semasa Belanjawan 2021 peringkat dasar diundi pada 26 November, Dr Mahathir adalah antara 13 anggota Dewan Rakyat yang menyokong usul untuk undian belah bahagian.

Ahli parlimen pembangkang yang lain bagaimanapun tidak berdiri selepas Anwar memberi arahan pada minit terakhir supaya tidak dibuat undian belah bahagian.

Tindakan majoriti wakil rakyat pembangkang yang dianggap membenarkan cadangan kerajaan lulus secara undian suara mendapat kritikan keras pelbagai pihak selepas berminggu-minggu digambarkan oleh blok pembangkang sebagai ujian keabsahan kerajaan Muhyiddin. – 14 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen